Shafee dibenar rayu kes saman terhadap Majlis Peguam

Share

PUTRAJAYA – Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dibenarkan merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak saman fitnah beliau terhadap Majlis Peguam dan tiga lagi berkaitan peranannya sebagai timbalan pendakwa raya dalam rayuan kes liwat II, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini susulan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf yang berkata, mahkamah berpandangan persoalan pertama yang dibangkitkan itu mempunyai merit untuk dihujahkan selanjutnya.

Turut bersidang ialah dua Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli.


Seseorang litigan mesti memperoleh kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan.

Pada 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah yang difailkan oleh Muhammad Shafee terhadap Majlis Peguam, bekas Peguam Negara Tommy Thomas, bekas Presiden Majlis Peguam Christopher Leong dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri V C George.

Pada 2018, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Muhammad Shafee dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.


Pada prosiding hari ini, Muhammad Shafee yang mewakili diri sendiri memohon kebenaran bagi empat persoalan perundangan namun peguam-peguam yang mewakili setiap responden menghujahkan bahawa persoalan yang dikemukakan tidak memenuhi syarat minimum Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman untuk membolehkan kebenaran diberikan.

Thomas diwakili Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan sementara George oleh Peguam Porres Royan manakala Lambert Rasa-Ratnam dan Andrew Chiew pula masing-masing mewakili Leong dan Majlis Peguam.

Persoalan yang dibenarkan ialah “Bolehkah ahli Majlis Peguam mengemukakan usul menurut Seksyen 64(6) Akta Profesion Undang-undang 1976 untuk menyelesaikan aduan yang dibuat oleh Majlis Peguam terhadap peguam dan peguam cara kepada badan disiplin, secara serentak mengemukakan resolusi inter alia mengutuk sekeras-kerasnya dakwaan pelanggaran disiplin oleh peguam dan peguam cara, pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM)?”


Muhammad Shafee memfailkan saman itu pada Mac 2015 mendakwa pada 28 Februari 2015, Thomas yang disokong oleh George telah menerbitkan dan menyerahkan usul untuk dibincangkan di AGM Majlis Peguam pada 14 Mac 2015.

Usul itu berhubung peranan Muhammad Shafee sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes rayuan kes liwat Anwar di Mahkamah Persekutuan, mendakwa beliau (Muhammad Shafee) telah melanggar peraturan profesion undang-undang yang melarang peguam daripada mencari publisiti untuk diri sendiri.

Usul itu turut mendakwa Muhammad Shafee terlibat dalam jelajah di seluruh negara bagi menghina banduan dan menarik perhatian terhadap peranannya dalam sabitan ke atas Anwar.

Pada 10 Februari 2015, Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan terhadap Anwar meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara.

Anwar bagaimanapun menerima pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018.

Dalam permohonannya, Muhammad Shafee antara lain memohon pengisytiharan bahawa usul itu mala fide kerana tujuan usul semata-mata untuk memalukan beliau dan AGM bukan forum yang sesuai untuk mendengar usul itu. – Bernama

Leave a Reply