‘Nak masuk kita terima, kena hijack nak buat macam mana’

Share

Selepas majlis penyertaan semula tokoh Amanah ditangguhkan, PAS memberitahu usaha tersebut digagalkan oleh pihak tertentu.

“Nak masuk kita terima. Lepas itu kena hijack (digagalkan) nak buat macam mana.

“(Ada usaha) halang ahli yang nak keluar,” kata Setiausaha PAS Selangor Roslan Shahrir Mohd Shahrir kepada Malaysiakini ketika ditanya mengenai penangguhan itu.


Bagaimanapun, dia tidak mendedahkan pihak yang cuba menghalang penyertaan itu.

Terdahulu, sidang media yang dikatakan bagi mengumumkan penyertaan kembali tokoh Amanah kepada PAS ditangguhkan selepas hampir sejam siaran langsung majlis itu di Internet hanya memaparkan kerusi kosong.

Shahrir sebelum ini berkata majlis penyerahan borang itu ditangguhkan “atas sebab yang tidak dapat dielakkan”.


Sementara itu, dalam kenyataan di Facebook selepas itu, Roslan berkata mereka tidak rugi apa-apa susulan penangguhan itu.

“Ada orang PAN (Amanah) di Selangor nak kembali ke PAS, kita alu-alukan. Rupanya baru nak melangkah, gegak gempita sarang tebuan hingga berasak menghalang-halang laluan.

“PAS seinci pun tidak rugi kerana kini kita tahu rupanya ahli-ahli mereka sudah mula gundah-gulana tidak lagi selesa dengan parti dan pimpinan mereka yang semakin terserlah bergantung nyawa pada DAP itu.


“Trend ini kita yakin akan berterusan.

“Mungkin hari ini bolehlah disekat-sekat tapi apabila gelora dah memuncak nanti akan ranap dan roboh jua mahligai sendeng yang menanti hari mahu roboh itu,” katanya.

Mat Sabu tiada maklumat

Sementara itu Presiden Amanah Mohamad Sabu ketika diminta mengulas mengenai perkara berkata pihaknya tiada sebarang maklumat setakat ini.

“Saya belum ada maklumat apa-apa lagi.

“Jadi saya tak mahu komenlah,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Kota Bharu hari ini.

Amanah yang ditubuhkan pada 2015 digerakkan oleh Mohamad sebagai bekas timbalan presiden PAS bersama hampir keseluruhan pimpinan pusat parti itu.

Ia ditubuhkan selepas Mohamad dan kemnya ditolak besar-besaran dalam muktamar parti itu. Mkini

Leave a Reply