Menteri: Kerajaan putuskan tarik balik RUU IPCMC

Share

Kerajaan memutuskan untuk menarik balik Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 susulan mendapat bantahan daripada pelbagai pihak dan digantikan dengan RUU baru, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata RUU baru itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Rabu depan (26 Ogos) dan menurutnya sebelum ini RUU IPCMC 2019 dijadualkan dibahaskan di Dewan Rakyat pada hari yang sama.

“IPCMC ditarik balik dan akan digantikan dengan satu RUU baru yang mempunyai maksud yang sama (berkaitan salah laku polis) tetapi diubah suai dan diberikan nama yang berbeza.

“Keputusan (tarik balik) dibuat oleh kerajaan semasa. Sesetengah isi kandungan dalam RUU itu (IPCMC) tidak dipersetujui oleh anggota polis, jadi kerajaan, KDN (Kementerian Dalam Negeri), memutuskan untuk perkenalkan yang (RUU) baru,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan watikah pelantikan Pesuruhjaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) di Putrajaya, hari ini.


Takiyuddin berkata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dijangka membentangkan RUU baru itu pada Rabu bagi bacaan pertama dan bacaan kedua pula pada keesokan harinya (27 Ogos).

Menurutnya, mesyuarat Kabinet sudah bersetuju dengan pembentangan RUU yang baru itu serta menegaskan EAIC akan terus dikekalkan.

RUU IPCMC 2019 dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 18 Julai tahun lepas bertujuan menggantikan EAIC bagi meningkatkan integriti dan keupayaan Polis Diraja Malaysia dan bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis.


Takiyuddin dalam ucapannya sebelum itu berkata fungsi EAIC bukan hanya tertumpu pada menjalankan siasatan aduan salah laku sahaja, sebaliknya juga berperanan membuat pemantauan terhadap prosedur operasi standard (SOP) agensi-agensi penguatkuasaan, termasuklah lawatan ke premis seperti depot tahanan dan lokap polis.

“Hasil daripada perjalanan fungsi ini, EAIC akan mengesyorkan kepada kerajaan langkah dan usaha penambahbaikan yang perlu diambil bagi memantapkan mutu perkhidmatan agensi-agensi penguatkuasaan tersebut.

“Usaha penubuhan EAIC oleh kerajaan sejak dari 2011 bukanlah untuk mencari kesalahan dan keaiban seseorang pegawai atau sesuatu agensi penguatkuasaan semata-mata.


“Suruhanjaya ini juga sebenarnya adalah perisai kepada agensi penguatkuasaan dan medium atau platform untuk membantu agensi penguatkuasaan persekutuan memantapkan lagi kualiti integriti tenaga kerja mereka, justeru membantu kerajaan dalam memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Takiyuddin turut menyarankan agar orang awam lebih bijak memilih saluran aduan bagi mengelakkan risiko ancaman keselamatan dan perlindungan kepada mereka selaku pemberi maklumat.

“Saya lihat seiring dengan peredaran zaman dan perkembangan teknologi, ramai kini yang cenderung untuk menularkan kes-kes salah laku atau ketirisan disiplin melalui pelbagai aplikasi di media baru seperti WhatsApp, Telegram, media sosial dan juga blog.

“Meskipun medium ‘penyampaian berita’ ini begitu pantas dan hanya terletak di hujung jari, kita perlu juga tahu terdapat kejadian-kejadian yang ditularkan turut mengundang pelbagai implikasi lain kepada pelbagai pihak termasuk kepada pengadu itu sendiri,” katanya.

Pada majlis itu, Takiyuddin menyampaikan watikah pelantikan kepada pengerusi dan pesuruhjaya EAIC yang dilantik untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 Julai lepas.

Bekas Ketua Setiausaha Negara Mohd Sidek Hassan dilantik sebagai pengerusi EAIC manakala bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Zainun Ali sebagai timbalan pengerusi.

Suruhanjaya itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur John Louis O’hara dan Penasihat Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod.

Bernama

Leave a Reply