Hampir 40% pengilang hanya mampu bertahan kurang dari setahun, kata FMM

Hampir 40% pengilang Malaysia mendedahkan perniagaan mereka hanya mampu bertahan dalam tempoh kurang dari setahun, menurut tinjauan Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia-Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (FMM-MIER).

Berdasarkan kajian separuh tahun pertama 2020 yang dikeluarkan hari ini, 38.9% pengilang mendedahkan mereka tidak mampu bertahan dalam tempoh 12 bulan berikutnya kerana hasil terjejas akibat Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP), yang menyaksikan semua perniagaan bukan perlu terhenti.

FMM berkata 549 responden seluruh negara mengambil bahagian dalam tinjauan yang dijalankan bagi tahun ke-17, pada 2 hingga 31 Julai lalu.

Sejumlah 9.1% responden mengatakan mereka boleh bertahan selama 10-12 bulan, 6.7% selama 7-9 bulan, 18.4% selama 4-6 bulan, dan 4.7% selama 1-3 bulan.

“Kebanyakan syarikat, melainkan mereka mempunyai dana banyak, hanya memiliki (rizab) tunai 6 bulan untuk bertahan – dan keadaan itu sebenarnya sudah dianggap baik,” kata Presiden Soh Thian Lai pada sidang media di ibu pejabat FMM hari ini.

“Sebahagian mereka yang mengatakan mampu bertahan 12 bulan…Itu disebabkan pakej rangsangan kerajaan, subsidi upah, dan moratorium bank,” katanya.

Sejumlah 24.6% pengilang berkata Covid-19 dan PKP tidak menjejaskan perniagaan manakala 34.2% berkata perniagaan mereka mampu bertahan bagi tempoh lebih 12 bulan.

Pada saat 2.2% responden dilaporkan tutup, Soh berkata 38.9% pengilang yang menyatakan tidak mampu bertahan berkemungkinan tidak tutup kerana “selepas 12 bulan, mereka akan membuat pinjaman bank, bantuan kerajaan, atau penggabungan syarikat serta pemerolehan”.

Soh berkata, pihaknya kurang meletakkan harapan pada prospek tahun ini susulan permintaan global lemah meskipun sektor pengilangan membentuk hampir 85% daripada jumlah eksport tahun lepas.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bulan lalu mengubah ramalan perkembangan ekonomi, menjangkakan penguncupan 4.9% selepas sebelum ini meramalkan penguncupan 3%.

Menyedari pentingnya perniagaan tempatan terus bertahan bagi memastikan pengangguran tidak meningkat, Soh menegaskan kerajaan dan bank memainkan peranan penting dalam menyediakan lebih banyak pakej rangsangan dan memudahkan pinjaman.

“Pengilangan menyumbang 23%-25% keluaran dalam negara kasar (KDNK), jadi kerajaan perlu fokus sektor itu,” katanya.

“Bank mempunyai kecairan untuk membantu perniagaan, dan amat penting perniagaan bertahan kerana kami bimbang kadar pengangguran boleh meningkat mencecah lebih sejuta orang.” FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker