‘Blackout, keluar Bersatu propaganda mereka yang kecewa’

Share

KLANG – Isu ‘blackout’ dan tindakan segelintir ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar parti didakwa hanya propaganda mereka yang kecewa kerana tidak mendapat jawatan dalam parti.

Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari ketika menjelaskan perkara itu berkata, mereka yang keluar parti kebanyakannya terdiri daripada yang kalah dalam pemilihan cawangan dan bahagian sebelum ini.

Menurutnya, tindakan mereka yang keluar parti sedikit pun tidak menjejaskan kekuatan parti.”Kita yakin dengan kekuatan ahli di Selangor setakat ini melebihi 50,000 orang, Bersatu mampu untuk terus berkembang menjadi parti yang kuat di negeri ini.


“Kita yakin selepas selesai pemilihan nanti, kita akan dapat menambah lebih ramai lagi ahli untuk terus mengukuhkan parti,” katanya pada Majlis Perasmian Persidangan Bahagian Bersatu Negeri Selangor dan Majlis Ramah Mesra Bersama Calon-calon Pemilihan Bersatu Penggal 2019-2022 di Wyndham Acmar Hotel, di sini malam ini.

Beliau berkata, 19 daripada 22 ketua bahagian di negeri ini tetap teguh bersama kepimpinan presiden untuk memacu perjuangan parti di negeri ini.

Jelasnya, baki tiga bahagian kini diterajui oleh timbalan ketua bahagian sebagai pemangku ketua.


Hanya satu bahagian masih belum dilantik pemangku ketua bahagian dan perkara itu akan diselesaikan dalam masa yang terdekat.

“Saya selaku Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Selangor bersama-sama dengan 22 bahagian di Selangor ingin menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bagi kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa kami Bersatu Negeri Selangor akan terus bekerja keras mempertahankan parti dan berusaha untuk memastikan Selangor akan berada di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum (PRU15).


Terdahulu, beliau berkata, Bersatu Selangor berjaya menyelesaikan persidangan dan pemilihan untuk cawangan dan bahagian dengan jayanya.

Menurutnya, semua bahagian akan bersidang mengikut jadual dan ketetapan yang diarahkan oleh parti pada 22 Ogos ini.

“Segala persiapan persidangan bahagian dan pemilihan berjalan dengan lancar. Bersatu Selangor menyerahkan kepada perwakilan untuk memilih pemimpin yang boleh menerajui dan membawa hala tuju parti dengan baik dan berkesan.

“Kita berharap semua perwakilan dapat melaksanakan tanggungjawab memilih barisan kepimpinan parti dan seterusnya mampu mendukung kepimpinan presiden parti untuk membawa parti ke tahap lebih gemilang,” katanya.

Leave a Reply