Zahid: Bung Moktar akan tentukan KM Sabah lepas menang PRN

BN menyerahkan kepada Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin untuk menentukan calon ketua menteri selepas gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah diberi kuasa autonomi untuk membuat keputusan berhubung perkara itu.

“Memilih seorang ketua menteri dalam kalangan Adun apabila mendapat kemenangan dengan majoriti mencukupi bagi pembentukan kerajaan negeri Sabah yang baru.

“Lepas PRN kalau dapat majoriti mudah perundingan akan dijalankan dengan semua Adun yang ada.

“Di Sabah ada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Bagi pembentukan kerajaan negeri, ini tahap kedua untuk hadapi perundingan selepas pilihan raya tamat,” katanya pada sidang media di parlimen hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Sept ini sebagai tarikh PRN Sabah.

Hal itu diumumkan Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom, di Kota Kinabalu, Sabah selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai pengurus pilihan raya di sebuah hotel di bandar raya berkenaan.

Untuk tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 12 Sept. Pengundian awal diadakan pada 22 Sept.

Berdasarkan tarikh yang diumumkan Azmi itu, tempoh untuk berkempan bagi semua calon yang bertanding ialah selama 14 hari.

Pada 30 Julai lalu, Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal mengumumkan Yang Di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin telah berkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Sementara itu, ditanya mengenai kesediaan BN untuk berkompromi dalam soal agihan kerusi, Ahmad Zahid berkata kebijaksanaan diperlukan bagi mendepani perkara itu.

“Selain daripada Umno dan PBRS yang menganggotai BN terdapat beberapa parti politik Sabah lain, tentunya mereka mahu dan berhasrat bertanding di kerusi pada hemat mereka boleh beri sumbangan kepada pembentukan kerajaan negeri baru.

“Kebijaksanaan dan kompromi mesti mendepani permintaan parti berkenaan. Kita tahu parti terlibat, STAR, PBS, kita juga tahu terdapat beberapa parti lain yang berhasrat letakkan calon termasuk Bersatu yang ada Adun, asalnya Adun yang bertanding atas tiket BN Sabah.

“Kita akan memurnikan perundingan dan tentunya kita berikan peluang untuk pengerusi BN dan Umno Sabah adakan rundingan awal dengan presiden parti berkenaan,” katanya

Tambah Zahid lagi, bagaimanapun beliau dan Setiausaha Agung BN Annuar Musa tidak akan lepas tangan, sebaliknya akan turut membantu.

Dalam pada itu, Bung Moktar berkata pihaknya akan menggunakan logo BN dalam PRN Sabah yang diadakan nanti.

Menjawab pertanyaan wartawan tentang calon yang akan mewakili BN, Bung Moktar berkata ia akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

“Ia dalam proses kita sedang memperhalusi dan akan dimuktamadkan tidak lagi,” katanya. Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker