Sudikah gajah guna jambatan khas di kawasan gunung, soal menteri

Pembinaan jambatan khas untuk lintasan haiwan di lebuh raya kawasan pergunungan, agar tidak membahayakan pengguna dan haiwan, sukar dilaksanakan kerana bentuk muka bumi dan belanja yang tinggi.

Selain itu, kata Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof, kementeriannya, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, dan Jabatan Perhilitan perlu membuat kajian bagi memastikan keberkesanan kemudahan itu, walaupun haiwan penghijrah, seperti gajah, kebiasaannya melalui kawasan sama.

“Sama ada haiwan itu nak ikut jambatan atau tidak, itu menjadi cabaran kepada kita,” katanya semasa sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Fadillah menjelaskan bentuk lain laluan untuk haiwan liar ada disediakan seperti di Lebuh Raya Central Spine Road.

Fadillah Yusof
“Di bawah laluan,” katanya, merujuk kepada laluan bawah 3 jambatan yang dikenali sebagai Eco-Bridge.

Selain itu, pihak berkuasa turut mendirikan tanda amaran di kawasan yang menjadi laluan haiwan liar.

Fadillah menjawab pertanyaan Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) adakah kerajaan bercadang membina jambatan khas untuk haiwan liar bagi mengelakkan bahaya kepada pengguna, seperti kejadian gajah mengamuk di lebuh raya Gerik-Jeli ketika musim perayaan lalu.

Kejadian yang menyaksikan kenderaan remuk dipijak gajah itu tular di media sosial. Haiwan itu dipercayai terkejut dengan bunyi hon kenderaan. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker