Samseng sungguh

PERSELISIHAN faham ketika mengundur kereta menyebabkan seorang lelaki berdepan detik cemas apabila dikejar pemandu kereta yang tidak berpuas hati sebelum bertindak menghentak cermin kenderaannya dengan parang di Jalan Selayang Baru, Gombak, 14 Ogos lalu.

Dalam kejadian 3.10 petang itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Ong, 28, sedang mengundur Proton Satria Neo sebelum tiba-tiba Perodua Myvi dipandu seorang lelaki menekan hon dan memarahinya.

Ong berkata, sedangkan ketika itu dia belum melanggar kereta lelaki terbabit dan terus beredar namun pemandu kereta itu terus mengekorinya.

“Dia mengekori saya sehingga ke Jalan Selayang Baru dan ketika berhenti kerana ada kerja baik pulih jalan, tiba-tiba lelaki terbabit keluar dari keretanya dan cuba membuka pintu kereta saya tetapi gagal kerana berkunci.

“Lelaki terbabit kemudian bertindak menghentak cermin hadapan dengan menggunakan parang sehingga retak sebelum dia melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, dia tampil membuat laporan di Balai Polis Selayang untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan sedang mengesan suspek yang merosakkan cermin kereta mangsa,” katanya. HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker