Jika bekas KP Selangor terlibat, sila siasat

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mahu polis menyiasat bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat kerana didakwa memberi tekanan kepada seorang tauke judi membuat laporan polis terhadapnya.

Walaupun Jamal tidak mahu membuat tuduhan melulu namun ketika prosiding di Majistret Ampang Jaya sebelum ini tauke judi terbabit mengakui dia dipaksa untuk membuat laporan polis terhadapnya kerana menceroboh premis judi di Taman Kosas di Ampang.

“Dalam mahkamah peguam tanya kenapa tarik balik laporan, dia kata dia memang tak nak lapor tetapi dia ditekan dan dipaksa oleh Ketua Polis Negeri Selangor (ketika itu).

“Dia cakap kepada saya, saya cuma ulang balik, saya tak tuduh, jadi sekarang ini saya nak buat laporan nak buat aduan kepada pihak polis kenapa Ketua Polis Selangor ketika itu berkelakuan sebegitu.



“Belum dua jam saya buat pendedahan tentang kedai mesin judi ini, bekas Ketua Polis Selangor telah membuat kenyataan. Saya dapat merasakan bahawa saya adalah orang yang dianiayai,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu Jamal bersama peguamnya, Datuk Mohd Imran Tamrin menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Ampang Jaya kerana dituduh menceroboh sebuah premis perjudian di Taman Kosas.

Jamal yang pernah mengetuai Gabungan NGO 1Malaysia pada 5 Julai 2018 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menceroboh kedai Starcom Trading dan Services, nombor 23 & 25, Jalan Kosas 13, Taman Kosas di sini jam 3.30 petang, 29 Disember 2016.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.



Dalam pada itu, Jamal juga menegaskan, sebagai pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat, pendedahan aktiviti perjudian haram itu menjadi sebahagian daripada tanggungjawabnya mencegah kemungkaran.

“Saya tiada masalah, saya hadapi (pertuduhan) ini sebagai satu perjuangan fi-sabilillah kerana tugas kami sebagai pemimpin masyarakat dan NGO untuk mencegah yang mungkar.

“Lima tahun kami berhadapan dengan perbicaraan di mahkamah, turun naik mahkamah, denda dan sebagainya tetapi saya minta tegakkan keadilan, buat siasatan betul-betul, yang salah tetap salah, yang betul tetap betul.

“Walaupun Ketua Polis Selangor telah bersara tiga tahun lepas, kalau dia betul…betullah…saya tak tuduh tetapi kalau dia terlibat dalam perkara ini, saya mohon pihak berwajib siasat beliau balik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker