Bung Ketuai Jentera PRN Sabah, Presiden terlanggar ‘autonomi’ UMNO Sabah

Share

Kuala Lumpur – Autonomi UMNO Sabah telah dinanti-nantikan oleh ahli UMNO Sabah dan rakyat Sabah secara amnya sejak sekian lama.

2) Sentimen rakyat Sabah keseluruhannya mahukan parti-parti politik di Sabah ditentukan hala tujunya oleh orang Sabah sendiri.

3) Kami percaya pemimpin-pemimpin Umno Sabah mampu menentukan hala tuju Umno Sabah sesuai dengan kehendak rakyat Sabah dan situasi politik masa kini.


4) Autonomi inilah yang dinanti-nantikan oleh rakyat Sabah dan ahli Umno sejak UMNO bertapak di Sabah 29 tahun yang lalu.

5) UMNO Sabah telah mencadangkan autonomi UMNO Sabah sejurus UMNO tidak lagi menjadi kerajaan di pusat dan di negeri Sabah. Kami melihat inilah cara yang terbaik untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO Sabah.

6) Saya sendiri telah berjumpa dengan Presiden UMNO pada bulan Julai 2018 dan memberi sebab-sebab kenapa UMNO Sabah perlu diberikan autonomi politik dalam keadan politik masa kini. Alhamdulillah, Presiden menyokong autonomi Sabah kerana beliau merasakan inilah formula terbaik untuk UMNO Sabah kekal relevan dalam politik Sabah.


7) Setelah itu, Presiden telah mengarahkan beberapa siri perjumpaan dan perbincangan mengenai isu autonomi UMNO Sabah yang akhirnya berakhir dengan usul autonomi UMNO Sabah telah diluluskan dalam perhimpunan agung umno 2019 secara sebulat suara.

8) Autonomi UMNO Sabah bermaksud keputusan berkaitan dengan hal ehwal UMNO Sabah perlu dibincang dan diputuskan diperingkat kepimpinan UMNO Sabah. Ini termasuk soal kepimpinan UMNO negeri, pentadbiran, keahlian, disiplin, perlantikan Senator, pemilihan ahli UMNO Sabah sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO yang dilantik, halatuju, kerjasama politik dengan parti lain, penentuan calun-calun pilihanraya dan calun Ketua Menteri Sabah sekiranya UMNO adalah parti yang memenangi kerusi DUN yang terbesar dalam pilihanraya negeri.

9) Dalam pengumuman yang dibuat oleh Presiden petang tadi, ramai ketua-ketua UMNO Bahagian di Sabah tidak dirundingi, dibawa berbincang untuk mendapatkan keputusan bersama. Malah kami telah berkali-kali memaklumkan kepada Presiden sebelum ini tentang pandangan dan kebimbangan kami berkenaan dengan kedudukan Ketua UMNO Sabah.


10) Kami berpendapat bahawa ini melanggar semangat autonomi UMNO Sabah yang telah diluluskan oleh Perhimpunan Agung UMNO tahun lepas.

11) Saya percaya rakyat Sabah mahukan UMNO Sabah supaya mempunyai kebebasan menentukan halatuju kami tanpa campur tangan pusat di Kuala Lumpur. Sudah tiba masanya UMNO mendengar jeritan suara rakyat Sabah sejak 1963 yang mahukan Sabah mendapat hak menentukan halatuju politik mereka.

12) Kami berpandangan bahawa seseorang yang menjadi ketua jentera pilihanraya negeri UMNO Sabah mestilah bebas dari persepsi negatif yang boleh dimanipulasikan oleh pihak lawan, mempunyai kredibiliti yang tidak boleh dipersoalkan oleh rakyat, dan yang tidak dibebankan dengan masalah peribadi yang boleh menjejaskan sokongan pengundi kepada UMNO dan rakan- rakannya dalam pilihanraya negeri.

13) Kami yakin pendirian kami ini disokong oleh ramai kepimpinan UMNO Sabah di semua peringkat dan rakyat Sabah. Kami percaya dan yakin bahawa jumlah kami pada malam ini akan bertambah, bukan berkurang, setelah isi kandungan sidang akhbar ini diketahui oleh ahli-ahli UMNO. Tunggu dan lihat sahaja.

14) Kami akan terus istiqomah dalam perjuangan UMNO dan akan bekerja kuat untuk memastikan kemenangan UMNO Sabah dalam pilihanraya negeri yang bakal diadakan. Kami tidak akan keluar dari UMNO, tapi kami berjanji untuk meletakkan semula UMNO dalam landasan politik yang betul dan memastikan tidak ada pemimpin yang meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan parti. UMNO ditubuhkan untuk memperjuangkan kepentingan rakyat bukannya untuk kepentingan individu.

15) Malam ini adalah manifestasi autonomi yang rakyat Sabah idamkan selama berpuluh tahun ini dan ini adalah peluang untuk UMNO menunjukkan bahawa parti ini mendengar suara rakyat Sabah yang inginkan kebebasan membuat keputusan. Presiden UMNO Malaysia mesti berlapang dada dan berjiwa besar dan jangan ketepikan semangat autonomi yang beliau sendiri telah persetujui.

16) Autonomi ini mesti diterjemahkan melalui tindakan, bukan sahaja melalui kata-kata.

Suara.TV

Leave a Reply