Zahid tertekan, dakwa ada hantu dalam sel SPRM

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad memberitahu mahkamah bahawa bekas Pegawai Khasnya pernah mengaku terpaksa menggunakan nama beliau untuk melepaskan diri daripada tuduhan rasuah ketika disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau yang membela diri di kandang saksi berkata, pengakuan Muhammad Zahid Md Arip itu dibuat setelah memaklumkannya bahawa beliau berada dalam keadaan tertekan.

Menurutnya, meskipun telah memberitahu Muhammad Zahid untuk membetulkan keterangannya, namun perkara itu tidak dilakukannya.

“Masa saya jumpa dia, dia kata salah satu dari tiga sel tahanan SPRM ada hantu. Sebab itu dia tertekan dan terpaksa menggunakan nama saya untuk melepaskan diri.

“Saya memintanya betulkan dia kata dia akan buat (betulkan tuduhan dia). Lama kelamaan tidak ada apa berlaku sehingga saya berjumpanya di pejabat SPRM, saya katakan lagi Zahid betulkan sebelum bawa ke mahkamah.

“Sebab ini soal maruah saya. Dia kata kejap saya buat. Tapi tiada apa yang berlaku sehingga saya dibawa ke mahkamah.

“Dia nyatakan seolah-olah saya terlibat,” katanya ketika disoal oleh peguam belanya, Datuk Salehuddin Saidin.

Mohd Isa menghadapi sembilan pertuduhan rasuah berjumlah lebih RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS).

Kenyataan Muhammad Zahid diganggu hantu ternyata menarik perhatian para hadirin dalam mahkamah termasuk pengamal media.

Bukan sahaja tidak pernah mengarahkan Muhammad Zahid untuk menyampaikan ‘salam’ kepada bekas pemilik MPHS, Ikhwan Zaidel yang didakwa simbolik untuk meminta wang suapan, menerusi keterangan bertulisnya Isa menolak tuduhan menerima sendiri wang tunai sebanyak sembilan kali di pejabatnya.

Mohd Isa menegaskan, semua tuduhan bekas Pegawai Khasnya terhadap beliau hanya rekaan dan merupakan pembohongan semata-mata.

Jelas beliau, ketika Muhammad Zahid mempertemukannya dengan Ikhwan sebanyak dua kali, beliau menyatakan tidak mempunyai kuasa memberi kelulusan untuk urusan pengambilalihan MPHS melainkan hanya dengan kesepakatan daripada semua Ahli Lembaga Pengarah.

Mohd Isa yang dituduh menerima rasuah lebih RM3 juta itu turut memberitahu mahkamah hari ini bahawa beliau pernah mengesyaki Muhammad Zahid mempunyai kepentingan dalam urusan pembelian hotel berkenaan selepas memperkenalkan Ikhwan kepadanya dan pernah ke Sarawak atas alasan mengadakan pertemuan dengan ahli politik negeri berkenaan.

“Dalam hati kecil saya terdetik (mengesyakinya) juga tapi saya memikirnya dia juga nak berjumpa ahli politik Sarawak,” katanya lagi.

Mengenali Muhammad Zahid, Isa berkata, keperibadian bekas Pegawai Khasnya itu sentiasa melarikan diri demi kepentingan diri.

“Muhammad Zahid memang perangai begitu, mesti lepaskan dirinya. Sebab itu dalam politik dia lompat-lompat mana yang dapat beri dia keuntungan dia akan pergi, itu peribadi dia stail dia,” tambahnya.

Malah Mohd Isa sendiri mendedahkan beliau tidak sepenuhnya bersetuju untuk melantik Muhammad Zahid sebagai Pegawai Khas setelah melihat rekodnya yang disifatkan sebagai ‘kurang baik’.

Bagaimanapun atas permintaan Datuk Seri Najib Razak yang pada waktu itu merupakan Perdana Menteri, Mohd Isa bersetuju melantiknya.

“Apabila hampir pilihan raya tahun 2014 dan saya melantik beliau atas permintaan PM, Datuk Seri Najib Razak jadi saya lantiklah . Saya lihat rekodnya tidak begitu elok. Tapi oleh kerana PM mahu. Saya tidak berminat sangat jadikan dia Pegawai Khas tapi kerana permintaan Datuk Seri Najib,” ujarnya.

Prosiding yang bermula hari ini dijangka berlangsung selama tiga hari. – MalaysiaGazette

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker