Tiada perintah mahkamah, Pilihanraya Sabah tetap diteruskan

KOTA KINABALU: Timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azmi Sharom berkata, semakan kehakiman terhadap pembubaran DUN di mahkamah tidak mempengaruhi keputusan badan itu untuk menetapkan tarikh penting pilihan raya negeri (PRN) Sabah hari ini.

Katanya, SPR setakat ini belum mendapat sebarang pemakluman daripada mahkamah, justeru tiada sebab untuk ia menangguhkan penetapan tarikh penamaan calon, pengundian awal dan pengundian.

”Kita akan teruskan (PRN) kerana kami belum menerima apa-apa arahan daripada mahkamah dan sekiranya ada nanti, kita akan jawab kemudian,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, SPR menetapkan 26 September sebagai tarikh pengundian PRN, manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 September.



Pada hari ini juga, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menetapkan 21 Ogos depan sebagai tarikh keputusan sama ada cabaran terhadap pembubaran DUN boleh dibicarakan di mahkamah atau tidak.

Sementara itu Azmi berkata, pihaknya menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan setiausaha agung PBS, Jahid Jahim yang mendakwa pemberian geran tanah kepada penduduk kampung oleh kerajaan negeri mungkin menyalahi undang-undang pilihan raya.

”Isu ini didakwa mungkin ada unsur rasuah dan SPR tidak terlibat dengan isu rasuah, jadi adalah lebih baik mereka membuat laporan kepada SPRM kerana ia bidang kuasa agensi itu, jadi kami serahkan kepada mereka untuk menyiasat,” katanya lagi.

DUN Sabah dibubarkan pada 30 Julai lepas bagi membuka jalan kepada PRN di negeri itu.



Ketua Menteri Shafie Apdal ketika mengumumkan perkara itu berkata, permohonan pembubaran DUN oleh kerajaan negeri pimpinannya diperakukan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker