‘Rais dedah Dr Mahathir ubah pendirian dalam 24 jam’

Share

Enam bulan selepas Langkah Sheraton, senator Bersatu Rais Yatim mendedahkan bagaimana mudahnya Dr Mahathir Mohamad mengubah keputusan, meskipun untuk hal-hal penting buat negara.

Menurut Rais, pada satu pertemuan pada 28 Februari antara dirinya, Mahathir dan hartawan Syed Mokhtar Al-Bukhary di Yayasan Al-Bukhary, Mahathir sendiri menyatakan sokongan kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri, tetapi mengubah pendiriannya dalam tempoh 24 jam.

Katanya, Dr Mahathir pada pertemuan tersebut menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri kerana dia hanya memperoleh 66 perakuan bersumpah (SD) daripada ahli-ahli Parlimen yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.


“Kalau dengan keadaan itu, katanya, biarlah Tan Sri Muhyiddin (Yassin) terus jadi perdana menteri.

“Selesai…saya keluar bilik itu dan kemudian menyampaikannya kepada Muhyiddin melalui emissary (wakil) yang terdekat. Malang, keesokannya juga Dr Mahathir dilaporkan hendak semula jawatan perdana menteri.

“Saya hilang cara logik untuk berinteraksi, malah saya semacam mati akal. Itulah bukti bahawa Dr Mahathir boleh tukar pendirian atas sesuatu hal yang begitu penting,” katanya dipetik Mingguan Malaysia.


Kata Rais, dia sendiri tidak mengerti bagaimana Mahathir boleh bertukar pendirian sebegitu rupa, namun tidak menolak Mahathir mungkin “diasuh” semula oleh rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) yang menyebabkannya menukar pendirian pada 29 Februari.

Akhbar itu turut menghubungi Mahathir bagi mendapatkan komen berhubung pendedahan Rais itu.

Langkah Sheraton berlaku pada 23 Februari apabila 11 wakil rakyat PKR yang diketuai Azmin Ali bertemu dengan BN, PAS, Bersatu, dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Hotel Sheraton, yang menumbangkan kerajaan PH.


Mahathir meletakkan jawatan keesokan harinya namun dilantik sebagai perdana menteri sementara.

Pada 29 Februari, PH menyatakan sokongan kepada Mahathir sebagai perdana menteri. Bagaimanapun, pada hari yang sama, Yang di-Pertuan Agong melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Rais turut mempersoalkan keupayaan Mahathir untuk meyakinkan penduduk Slim mengundi parti barunya, Pejuang, yang turut bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu.

“Di majlis kempen PRK Slim beberapa hari lalu beliau hanya menyatakan bahawa partinya bermisikan anti politik wang dan mahu orang Melayu khasnya menyokong partinya itu. […] Apakah hanya dasar anti politik wang sahaja untuk memasuki pilihan raya umum ke-15?

“Wang dan politik macam air dengan lumpur. Kena disuling atau diproses dahulu, baru jernih.

“Muhyiddin dengan rakan-rakannya kini pun sedang melakukan proses ini,” katanya yang mendakwa misi itu pun gagal ditangani Mahathir selama menjadi perdana menteri- 22 tahun sebagi perdana menteri keempat, dan 22 bulan sebagai perdana menteri ketujuh.

Rais berkata, sejujurnya, walau apapun alasan serta sebab-musabab, Mahtahtir sepatutnya membantu Muhyiddin dan bukan sebaliknya.

“Itupun kalau sesungguhnya (Mahathir) sayangkan bangsa dan agama,” katanya.

Rais turut menzahirkan ketidakyakinannya terhadap Pejuang, terutamanya tentang berapa lama Mahathir akan mengepelainya, serta kemampuan Mukhriz Mahathir untuk mengambil alih kepemimpinan parti itu daripada ayahnya nanti.

PRK Slim diadakan susulan kematian penyandangnya, Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai. Tarikh pegundian ditetapkan 29 Ogos.

PRK itu menjadi gelanggang pertama buat Mahathir dan para penyokongnya bagi menguji kekuatan parti baru mereka. MK

Leave a Reply