Negara Islam tidak patut berdamai dengan Israel

Negara–negara Islam tidak patut mengadakan sebarang jenis perjanjian damai ataupun hubungan dengan Israel, jauh sekali untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan negara Israel.

Ini susulan pengumuman penjanjian damai diantara negara Emiiryah Arab Bersatu (UAE) dengan Israel seperti yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump baru–baru ini.

Perjanjian damai ini bakal memperlihatkan negara Islam berkenaan bakal mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel.

Buat masa kini, hanya dua buah negara Islam yang ada hubungan diplomatik dengan Israel iaitu Jordan dan Mesir.

Terdapat 57 buah negara Islam di serata dunia pada ketika ini. Hampir kesemua negara–negara Islam ini tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Israel semenjak negara Israel ditubuhkan pada tahun 1948.

Sebarang jenis hubungan di antara negara Islam dengan Israel dilihat mustahil untuk dilaksanakan kerana sejarah penubuhan Israel itu sendiri yang penuh dengan keganasan dan kekejaman khususnya terhadap masyarakat Palestin.

Buat sekian lama, Israel telah mengetepikan banyak peruntukan undang–undang antarabangsa dengan melakukan pelbagai jenis penindasan dan kekejaman terhadap masyarakat Palestin.

Terdapat juga usaha diambil oleh pihak Israel serta pihak–pihak tertentu yang bersekongkol dengan Israel untuk menafikan kewujudan sebuah negara Palestin yang bebas merdeka seperti pengistiharan Bandaraya Baitulmaqdis secara sepihak sebagai ibu kota Israel pada penghujung tahun 2017 yang lalu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netenhayu melalui kempen politiknya menyatakan banyak kali hasratnya untuk mengambil beberapa kawasan milik Palestin di Tebing Barat sebagai wilayah mutlak Israel.

Usaha mereka ini hampir menjadi kenyataan apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bersama–sama dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netenyahu pada 24 Januari yang lalu mendedahkan rancangan pelan damai antara pihak Palestin dan Israel yang kononnya dianggap oleh mereka berdua sebagai perjanjian damai terpenting dalam abad ini.

Antara intipati utama rancangan pelan damai berkenaan adalah dengan memberi pengiktirafan kepada kewujudan kepada dua buah negara iaitu negara Palestin serta negara Israel, namun pihak Israel diberi hak untuk mengekalkan bandaraya Baitulmaqdis sebagai ibu negara mereka yang tidak boleh dikongsi dengan mana–mana pihak. Penempatan haram Israel di Tebing Barat juga akan secara rasminya menjadi hak milik Israel.

Israel juga bakal mendapat wilayah Lembah Jordan.

Banyak lagi syarat–syarat gila serta yang tidak masuk akal dimasukkan didalam rancangan pelan damai syok sendiri berkenaan oleh pentadbiran Amerika Syarikat yang bakal memberi lebih banyak tekanan kepada pihak Palestin.

Sebarang jenis perjanjian damai ataupun hubungan antara mana–mana negara Islam dengan Israel akan menghantar isyarat yang salah kepada umat Islam di seluruh dunia khususnya kepada masyarakat Palestin bahawa segala penindasan dan kekejaman yang dilakukan oleh Israel terhadap masyarakat Palestin selama ini boleh diterima, dimaafkan dan dilupakan.

Usaha berkenaan juga dilihat boleh menjejaskan usaha untuk mewujudkan sebuah negara Palestin yang benar–benar merdeka daripada penjajahan Israel.

Perlu diingati, semenjak penubuhan negara Israel pada tahun 1948, rakyat Palestin tidak pernah mengecapi keamanan. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan Israel untuk memastikan setiap inci tanah milik rakyat Palestin menjadi milik mereka sekaligus menafikan hak rakyat Palestin untuk mewujudkan sebuah negara yang merdeka.

Untuk rekod, Israel telah banyak melanggar Konvensyen Geneva serta pelbagai jenis undang =–undang antarabangsa khususnya yang berkaitan dengan hak asasi manusia terhadap rakyat Palestin.

Antara Konvensyen Geneva yang banyak telah dilanggar oleh pihak Israel termasuklah dengan melakukan pembunuhan kejam terhadap rakyat awam Palestin tanpa mengira usia dan jantina, memindahkan rakyat Israel ke kawasan yang ditakluki oleh mereka ke tanah milik Palestin di Tebing Barat, menyusahkan kehidupan rakyat palestin dengan mengenakan pelbagai jenis perintah berkurung dan penutupan jalan raya serta kawasan tanpa sebarang sebab yang munasabah serta mengunakan kuasa ketenteraan mereka secara berlebih–lebihan terhadap rakyat awam Palestin.

Pada masa yang sama juga, pihak Israel telah melanggar berpuluh–puluh peruntukan undang–undang antarabangsa dan beratus resolusi Pertubuhan Bangsa–Bangsa Bersatu (PBB) yang ditujukan kepada mereka dengan meneruskan proses penaklukan ketenteraan mereka di tanah Palestin, meluaskan serta menambah kawasan penempatan rakyat Israel di kawasan milik Palestin, membina tembok ditanah milik Palestin, serta menafikan hak pelarian Palestin untuk kembali ke tanah mereka sendiri.

Oleh yang demikian, adalah penting supaya semua negara Islam bersatu hati bersama dengan masyarakat Palestin bagi mempertahankan hak masyarakat Palestin dan terus menekan Israel untuk menghentikan segala penindasan dan kekejaman mereka terhadap masyarakat Palestin.

Israel juga perlu diberi tekanan berterusan supaya memulangkan semula semua harta dan tanah yang telah dirampas mereka kepada masyarakat Palestin serta membenarkan kepulangan jutaan pelarian Palestin yang kini ramai menumpang di negara-negara Arab ke bumi Palestin. Negara–negara Islam perlu lebih bijak dalam menilai untuk mengadakan sebarang jenis perjanjian damai ataupun hubungan dengan Israel.

Sebarang jenis perjanjian damai ataupun hubungan dengan Israel perlu memastikan masyarakat Palestin bebas sepenuhnya daripada segala jenis penindasan dan kekejaman daripada Israel dan kewujudan sebuah negara Palestin yang benar–benar merdeka. – MalaysiaGazette

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker