Kerajaan teruskan program MyBrain bantu mahasiwa sambung pengajian, kata menteri

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan melaksanakan kembali program program MyBrain15 yang ditangguh ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Menterinya Noraini Ahmad berkata, program itu akan dilaksanakan menggunakan kaedah baru yang kini dalam proses kelulusan Unit Perancangan Ekonomi (EPU).

“MyBrain15 sebenarnya telah dilaksanakan dalam RMK-10 dan RMK-11. MyBrain15 ini telah berjaya menaja seramai 56,910 pelajar mengikuti program di peringkat pasca siswazah dan sehingga Jun (2020), 34,207 pelajar bejaya menamatkan pengajian.

“Mengambil kira pencapaian program berkenaan, KPT berhasrat untuk melaksanakan program baru MyBrain yang memfokuskan kepada penajaan pelajar di peringkat pasca siswazah sebagai kesinambungan daripada program MyBrain15 yang ditangguhkan sebelum ini.

“Jadi KPT berhasrat menjadikan program berkenaan sebagai program jangka panjang yang akan dilaksanakan sepanjang RMK-12.

“Cadangan program baru berkenaan telah dikemukakan kepada pihak EPU untuk pertimbangan dan kelulusan.

“Sekiranya mendapat kelulusan oleh EPU, pelaksanaan program baru ini akan meningkatkan program intelektual akdemik,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika sesi pengulungan di peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 bagi KPT.

Terdahulu, Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) dan Sabri Azit (PAS-Jerai) meminta kerajaan memaklumkan status terkini program MyBrain sama ada ia akan diteruskan di bawah kerajaan PN selepas ditangguhkan kerajaan PH.

Pada 2018, di bawah pentadbiran PH, KPT berkata, program MyBrain15 iaitu skim pembiayaan pendidikan oleh kementerian itu untuk ijazah sarjana dan kedoktoran yang dilaksanakan sebelum itu ditangguhkan kerana dana diperuntukkan untuk program itu tidak mencukupi. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker