Kedah tutup masjid, rumah ibadat kekang penularan COVID-19

Kedah mengumumkan langkah segera bagi mengekang penularan wabak COVID-19 berikutan tercetus kluster baharu pandemik itu di beberapa daerah di negeri ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata berkuat kuasa hari ini, semua masjid dan rumah ibadat di kawasan berlaku penularan COVID-19 ditutup serta merta bagi membolehkan proses sanitasi serta pengawasan lanjut dilakukan sehingga kes terbabit selesai.

Katanya, turut ditutup adalah taman awam serta pasar malam di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Operasi peruncitan seperti kedai runcit, kedai 24 jam dan kedai serbaneka di stesen minyak hanya dibenarkan beroperasi bermula jam 8 pagi sehingga 8 malam saja.

“Aktiviti penjualan makanan di kawasan yang dilanda wabak dibenarkan beroperasi melalui kaedah bawa pulang atau penghantaran dan tidak lagi dibenarkan untuk makan, minum atau melepak di kedai,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, kerajaan negeri memutuskan tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di seluruh negeri, sebaliknya hanya dilaksana di kawasan dikenal pasti terjejas COVID-19 saja.

Sehingga kini, Kedah mencatatkan empat kluster COVID-19 iaitu Kluster Sivagangga, Kluster Tawar, Kluster Muda dan Kluster Sala membabitkan daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Kulim, Baling, Kuala Muda dan Yan.

Muhammad Sanusi berkata, arahan yang berkuatkuasa hari ini, diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri di Wisma Darul Aman, malam tadi.

“Mesyuarat turut memutuskan penganjuran program sosial termasuk oleh jabatan atau agensi kerajaan ditangguhkan.

“Sebarang majlis kenduri dan majlis perkahwinan juga perlu ditangguhkan sehingga keadaan kembali selamat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan semua acara sambutan berkaitan kemerdekaan peringkat negeri dibatalkan selain tempat awam yang menjadi tempat untuk sambutan kemerdekaan ditutup mulai 28 Ogos ini. BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker