Covid-19, D614G lebih mudah merebak, bukan lebih mudah ragut nyawa

Walaupun mutasi D614G adalah lebih mudah merebak, tetapi tiada bukti menunjukkan ia adalah lebih mudah meragut nyawa.

Pakar virus yang menemui virus Nipah, Datuk Dr. Lam Sai Kit berkata, mutasi D614G dibuktikan dalam makmal bahawa ia lebih mudah merebak, tetapi yang bernasib baik adalah kajian di England, Amerika Syarikat dan China menunjukkan G614 bukannya lebih mudah meragut nyawa berbanding D614.

Beliau berkata, cara rawatan COVID-19 juga tidak terjejas oleh penemuan mutasi D614G dan penggunaan ubat seperti Remdesivir dan Dexamethasone masih berkesan.

Katanya kepada Sinchew Daily, ada petanda bahawa mutasi boleh mengambil tempat dalam tempoh beberapa bulan seperti yang berlaku ke atas influenza A, oleh itu Malaysia perlu terus memantau perkembangannya.

Kami tidak akan tahu sama ada perubahan besar akan berlaku sehingga menyebabkan vaksin tidak berkesan selepas ini.

“Berdasarkan keadaan semasa, ini bukan isu yang perlu dibimbangi pada masa ini,” katanya kepada akhbar itu.

Jelas Dr. Lam, virus D614 di Eropah telah mengalami mutasi menjadi G614, malahan jenis virus itu telah menggantikan penularan D614 di dunia.

Dr. Lam menegaskan, tidak kira apa jenis virus yang ada, orang ramai perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, iaitu mengamalkan penjarakan fizikal, mengelakkan kawasan sesak, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan.

Beliau memberi amaran, jumlah kes akan melonjak sekiranya orang ramai lalai dalam mencegah jangkitan virus itu.

Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dilaporkan telah mengesan mutasi D614G dalam ujian pengasingan dan kultur terhadap tiga kes daripada kluster pesakit bawah siasatan (PUI) Sivagangga dan juga satu kes daripada Kluster Ulu Tiram.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, keadaan itu bermakna masyarakat perlu lebih berhati-hati kerana virus COVID-19 dengan mutasi D614G 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain dan mudah merebak sekiranya disebar oleh individu super spreader. – MalaysiaGazette

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker