Umno Sabah mahu dasar ‘satu negara satu harga’ dilaksana, hapus diskriminasi ekonomi

Umno Sabah mahu dasar baru dilaksanakan bagi menyelaraskan harga barangan di Sabah dan Semenanjung agar diskriminasi ekonomi tidak terus berlaku di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Rahman Dahlan berkata, dasar yang dinamakan “satu negara satu harga” itu akan dimasukkan ke dalam cadangan autonomi Sabah dan dalam manifesto parti itu pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

“Rakyat Sabah selalu tertanya-tanya kenapa kebanyakan harga barangan di negeri ini lebih tinggi daripada Semenanjung.

“Alasan yang selalu diberikan ialah kerana kos penghantaran barangan dari Semenanjung ke Sabah mahal.



“Kos penghantaran yang tinggi itulah yang dikatakan menjadi faktor utama kenapa harga barangan di Sabah tinggi berbanding dengan Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rahman yang juga ketua Umno bahagian Tuaran berkata, sebagai lulusan bidang ekonomi, beliau bersetuju dengan teori ekonomi itu, namun berasa pelik kerana teori berkenaan langsung tidak terpakai di Semenanjung.

Katanya, semua negeri di Semenanjung mempunyai harga yang sama kerana kebanyakan perusahaan dan perniagaan mempunyai 2 senarai harga, iaitu harga Semenanjung serta harga Sabah dan Sarawak yang lebih mahal.

“Sebagai contoh harga Proton Saga, kalaulah kos penghantaran menjadi alasan, kenapa harga Proton Saga di Kelantan sama dengan di Selangor? Di manakah kilang Proton berada?



“Bukankah semua kereta Proton yang dijual di Kelantan juga melibatkan kos penghantaran dari Selangor ke Kelantan? Sepatutnya pembeli Proton Saga di Kelantan membayar harga yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan pembeli di Selangor kerana kos penghantarannya.

“Persoalannya kenapa harga Proton Saga di Kelantan sama dengan di Selangor dan kenapa pula harga Proton Saga di Sabah lebih mahal daripada di Selangor?,” soal beliau.

Beliau berkata, jawapan bagi segala persoalan itu sangat mudah, iaitu diskriminasi ekonomi

“Kenapa perlu membeza-bezakan antara wilayah di Malaysia ini? Kalau harga di Semenanjung tidak dibezakan walaupun ada kos penghantaran, harga di Sabah dan Sarawak juga tidak patut dibezakan.



“Pada saya kalau pun ada negeri yang patut diberikan keutamaan harga rendah, maka Sabah dan Sarawak jauh lebih layak daripada negeri-negeri di Semenanjung.

“Sudahlan penduduk di Sabah dan Sarawak lebih miskin berbanding dengan penduduk di Semenanjung, ia pula adalah penyumbang utama pendapatan minyak negara,” katanya.

Rahman berkata, cadangan dasar “satu negara satu harga” juga mendapat respons positif daripada presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pada pertemuan mereka tahun lalu.

“Kalau ini (dasar ‘satu negara satu harga’) memerlukan pengubalan undang-undang atau peraturan baru bagi memastikan semua pengilang mematuhinya, maka Umno Sabah mendesak agar undang-undang atau peraturan baru tersebut digubal segera,” katanya lagi. FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker