Notis tuntutan PKR tak bermakna, tidak akan respons, kata Zuraida

Share

PETALING JAYA: Bekas naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin mengesahkan menerima notis tuntutan saman daripada PKR pada Selasa lepas.

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu yang kini merupakan ahli PPBM menegaskan beliau tidak akan mengambil sebarang tindakan berhubung notis tersebut.

“Surat itu tidak bermakna,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kebun Komuniti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Subang 2 di sini, hari ini.


Julai lepas, bendahari agung PKR Lee Chean Chung dilaporkan berkata, parti itu akan mengeluarkan surat tuntutan kepada kesemua 19 ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang keluar PKR dan menuntut setiap mereka membayar RM10 juta kepada parti tersebut.

Selain Zuraida, Menteri Kanan (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) yang juga bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali turut tersenarai akan menerima notis itu.

Ditanya mengenai status penyertaannya dan 18 lagi bekas wakil rakyat PKR dalam PPBM, Zuraida berkata, perkara itu akan diumumkan secara rasmi pada satu majlis pada 22 Ogos ini.


“Seperti yang pernah disebut sebelum ini, kami adalah sebahagian daripada PPBM, malah di Parlimen pun kami rujuk diri kami sebagai PPBM. Cuma dari segi formal sahaja belum buat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas pertubuhan parti politik baru iaitu Pejuang, Zuraida berkata, Malaysia mengamalkan demokrasi dan semua rakyat mempunyai hak menubuhkan parti politik.

Pada 7 Ogos lepas, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan parti itu yang tidak terikat atau menyokong mana-mana gabungan parti sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).


Leave a Reply