Lelaki dakwa jual organ manusia direman 7 hari

Lelaki yang menyerah diri kepada polis semalam, selepas mendakwa diri terbabit dalam pemerdagangan organ manusia antarabangsa, direman 7 hari untuk membantu siasatan kes itu.

Perintah reman ke atas lelaki berusia 48 tahun itu dikeluarkan penolong pendaftar mahkamah rendah Kuching, Mosidi Husseini, yang bersidang sebagai majistret, susulan permohonan dikemukakan pegawai penyiasat Nor Elyanis Mohd Yusoff.

Polis menyiasat kes itu di bawah Seksyen 15 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Semalam, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dev Kumar M M Sree mengesahkan lelaki itu ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching kira-kira 1.45 tengah hari.

Dia berbuat demikian selepas mengetahui polis memburunya susulan laporan akhbar United Kingdom, The Sun yang dia ialah broker buah pinggang mangsa miskin.

Dalam artikel 8 Ogos lalu, lelaki itu mendakwa dia boleh menguruskan “pakej” pemindahan organ £85,000 untuk warga Britain di Filipina dan mendalangi 45 penjualan haram buah pinggang menggunakan Facebook bagi mengumpan mangsa miskin dari seluruh dunia untuk menjual organ mereka. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker