Angka Korban Letupan Beirut Meningkat Kepada 177 Orang

BEIRUT – Angka kematian akibat letupan besar di Pelabuhan Beirut minggu lalu meningkat kepada 177 orang, lapor Agensi Anadolu, memetik Menteri Kesihatan Lubnan, Hassan Hamad pada Khamis.

Tentera Lubnan dalam satu kenyataan berkata, diplomat asing sudah dimaklumkan mengenai mekanisme pengagihan bantuan berikutan kejadian berkenaan.

Maklumat mengenai bagaimana bantuan yang diterima oleh Lubnan akan sampai kepada mangsa letupan juga telah dikongsi dengan para diplomat, tambah kenyataan itu.

Bantuan perubatan akan diedarkan selaras dengan koordinasi antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertahanan negara itu, manakala bantuan makanan akan diedarkan dengan kerjasama tentera dan organisasi bukan kerajaan, katanya.

Tentera Lubnan berkongsi mekanisme penyaluran bantuan yang diterima oleh negara itu secara telus dengan diplomat asing berikutan tuduhan rasuah terhadap pemerintah negara itu oleh aktivis media sosial dan rusuhan yang menganjurkan tunjuk perasaan di Beirut.

Letupan kuat menggegarkan Beirut pada 4 Ogos setelah timbunan 2,750 tan metrik ammonium nitrat yang diabaikan di gudang terbakar.

Gelombang letupan meruntuhkan bangunan berhampiran dan menyebabkan kerosakan harta benda yang meluas di ibu negara, menyebabkan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal.

Presiden Lubnan, Michel Aoun pada Rabu menyatakan kerosakan harta benda daripada letupan itu boleh menelan belanja lebih dari AS$15 bilion, menurut pertubuhan berita rasmi Lubnan. – BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker