Pelakon Antonio Banderas disahkan positif Covid-19

Pelakon Sepanyol, Antonio Banderas yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-60 pada Isnin, mengumumkan beliau sedang dikuarantin selepas disahkan positif Covid-19, tetapi merasakan dirinya “agak sihat”.

“Saya terpaksa menyambut ulang tahun kelahiran saya ke-60 dalam kuarantin selepas disahkan positif Covid-19,” kata pelakon yang terkenal menerusi filem “The Mask of Zorro” dan “Philadelphia” dalam catatan di media sosial yang disertakan sekeping gambar hitam putih beliau ketika masih bayi.

“Saya rasa agak sihat, hanya sedikit letih berbanding biasa dan yakin saya akan pulih secepat mungkin.

“Saya akan memanfaatkan pengasingan ini dengan membaca, menulis, berehat dan terus membuat perancangan selepas hidup selama 60 tahun, di mana saya penuh dengan hasrat dan semangat.”

Banderas, yang mengalami serangan jantung pada 2017 di rumahnya di Britain, tidak memaklumkan di mana beliau berada ketika ini.

Beliau tidak menghadiri sebuah majlis amal yang sepatutnya diacarakan beliau di Marbella, selatan Sepanyol pada Ahad, tidak jauh dari kampung halamannya di Malaga.

Januari lalu, beliau menerima pencalonan pertama bagi Anugerah Oscar menerusi filem “Pain and Glory” arahan Pedro Almodovar, tetapi kategori pelakon terbaik itu akhirnya dimenangi Joaquin Phoenix.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker