PRK Slim: ‘Amir Khusyairi’ pilihan Kem Mahathir

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan seorang peguam syarie muda sebagai calon bebas mewakili kem akan bertanding  menghadapi calon Umno, Mohd Zaidi Aziz  pada PRK Slim.

Nama Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38 diumumkan pada majlis memperkenalkan calon untuk kem Dr Mahathir di di Bilik Gerakan Utama, Persiaran Slim Permata, di Slim River sebentar tadi.

Petang tadi, Dr Mahathir mengumumkan nama parti barunya, “Pejuang.”

Terdahulu, pengacara majlis memperkenalkan Amir Khusyari di hadapan lebih 500 hadirin sebelum dijemput naik ke pentas utama.

Amir Khusyari merupakan anak bongsu daripada lima adik beradik, ayahnya, allahyarham Mohamad Tanusi Maulut ialah bekas naib kadi Teluk Intan, manakala ibunya seorang pesara guru agama.

Isterinya, Dr Nur Aainaa Othman pula ialah doktor pakar radiologi di Hospital Teluk Intan dan doktor pakar jemputan di hospital Slim River.

Turut hadir, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Tanjung Malim Chan Lih Kang, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke, Ahli Dewan Negara Marzuki Yahya dan Ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Md Salleh.

Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU14, Mohd Khusairi yang mewakili BN, mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PH dengan lambang PKR diwakili Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker