Pemberhentian AJK, ahli Bahagian Bersatu boleh jejaskan persidangan – Syed Abdillah

Pemberhentian keahlian dan keluar parti secara keseluruhan ahli jawatankuasa dan ahli-ahli Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh memberi kesan kepada persidangan Bahagian parti itu pada 22 Ogos ini.

Bekas Ketua Bahagian Bersatu Klang, Datuk Syed Abdillah Syed Abd Aziz mendakwa, ini kerana bahagian tersebut akan gagal bersidang dan kesannya jawatankuasa Bahagian terbubar secara automatik menurut Perkara 10.2 Peraturan Persidangan.

“Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) terpaksa mengambil alih pentadbiran Bahagian tersebut dan mengadakan persidangan khas semua Cawangan dalam Bahagian tersebut.

“Ia bertujuan untuk memilih semula Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap dan seluruh AJK Bahagian dalam masa 35 hari sebelum Perhimpunan Agung Tahunan.

“Ahli-ahli kena mengundi semula yang mana dilihat secara logiknya tidak mampu dilaksanakan.

“(Malah) MPT sudah tidak lagi boleh melantik AJK Bahagia secara Penaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas laporan MalaysiaGazette Ahad lalu yang bertajuk Pembubaran Bersatu Klang tidak sah.

Kenyataan peguam Siddiq Azani yang juga Ketua Penerangan Armada Putrajaya dipercayai mewakili Dr Muhammad Faiz Na’aman, salah seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia telah menyalah tafsirkan pembubaran Bahagian yang diadakan di pejabat Bersatu Klang, 8 Ogos lalu.

Sebaliknya bekas Ahli Jawatankuasa, Biro Perundangan Bersatu, Saiful Ambar Abdullah Ambar adalah seorang peguam yang lebih arif untuk membuat tafsiran itu.

“Beliau adalah antara pengasas Perlembagaan Bersatu yang lebih arif untuk merumuskan kekeliruan timbul sama ada tidak sengaja atau disengajakan,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Abdillah juga mempertahankan tindakannya dan hampir 3,000 ahli Bahagian dan Cawangan Bersatu Klang malah ia selari dengan Fasal 10.1 & 10.2.2 Perlembagaan Bersatu (Pindaan 2019).

Selain itu, pemilihan bagi peringkat MPT juga akan terkesan sekiranya Persidangan Bahagian pada 22 Ogos ini bagi memilih MPT gagal diadakan.

“Kegagalan persidangan dan pemilihan ini akan menimbulkan kesan kepada status parti di Jabatan Pertubuhan Pendaftar Malaysia (Ros)

“Ini kerana parti sudah tidak lagi boleh menangguhkan sebarang pemilihan menurut Fasal 14.14 Perlembagaan parti kerana sudah melebihi tempoh yang dibenarkan dalam Perlembagaan sendiri,” katanya.

Katanya lagi, kesannya adalah lebih mendalam dari pembubaran itu sendiri dan pastinya mengejutkan ahli-ahli Bersatu dengan pelbagai intepretasi lain yang mungkin wujud dan pastinya tidak akan mendatangkan apa-apa faedah.

“Kalau mana-mana peguam ingin membahaskan pun tidak ada gunanya kerana apa-apa masalah Bersatu ini tidak layak diadili di pentas perundangan kerana apa-apa intepretasi dan keputusan tidak boleh diadili di mahkamah,” katanya. – MalaysiaGazette

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker