Keluar Bersatu, untungkan UMNO

Share

KUALA LUMPUR: Barisan kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak boleh memandang sebelah mata situasi keluar parti yang berlaku meskipun belum ada ahli Parlimennya yang berbuat demikian.

Situasi itu secara tidak langsung menimbulkan persepsi negatif terhadap keupayaan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilihat seolah-olah gagal membina kepercayaan ahli.

Geostrategis, Azmi Hassan berpendapat, senario semasa sudah cukup untuk memberi tamparan kepada Muhyiddin, sekali gus memberi kelebihan kepada UMNO terutama dalam hal pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.


Beliau berkata, adalah penting bagi Presiden sebagai pemimpin nombor satu kerajaan mempamerkan kemampuan menyekat ‘penghijrahan’ kerana 12 kerusi asal yang dimenangi ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bergantung kepada persepsi itu.

“Walaupun belum ada ahli Parlimen mengumumkan sokongan terhadap parti baharu Tun Dr. Mahathir Mohamad, tindakan ketua bahagian atau ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) berbuat demikian sudah cukup memberi persepsi negatif kepada kepemimpinan Presiden.

“Persepsi Muhyiddin mampu menerajui Bersatu adalah penting bukan sahaja untuk berhadapan dengan saingan parti Dr. Mahathir atau Pakatan Harapan (PH) tetapi lebih penting untuk menepis saingan UMNO.


“Dengan wujudnya saingan langsung, maka agak sukar untuk Muhyiddin pertahan kerusi bekas ahli Parlimen UMNO yang sertai Bersatu. Sebab itu, saya berpendapat kewujudan parti Dr. Mahathir sememangnya merugikan Bersatu tetapi yang lebih penting ia lebih untungkan UMNO,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini, beberapa pemimpin parti itu mengumumkan pengunduran daripada Bersatu antaranya Ahli MPT Bersatu, Ulya Aqamah Husamudin; Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Abu Hafiz Salleh Hudin dan Timbalan Ketua Bahagian Shah Alam, Mohd. Azlan Shah Mohd. Arshad.

Penubuhan parti baru berasaskan Melayu yang diumumkan Dr. Mahathir pada Jumaat lalu belum mempunyai nama atau berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS). – UTUSAN


Leave a Reply