Pertuduhan ke atas Guan Eng, Betty Dan Phang jelas bukan motif politik

BUTTERWORTH, 11 Ogos – Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang atas tuduhan rasuah.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Guan Eng didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), telah menggunakan kedudukan untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM372,900 bagi isterinya Betty Chew Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Guan Eng didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara mengambil tindakan memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan Sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang bernilai RM11,610,000.00 yang Chew secara tidak langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Bagan ini dituduh melakukan kesalahan tersebut antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016, di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, di George Town, Pulau Pinang.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Phang pula didakwa telah bersubahat dalam pelakuan kesalahan oleh Guan Eng.

Manakala Betty didakwa menerima pengubahan wang haram bernilai RM87,009 , RM180,000 dan RM105,000 yang dimasukkan ke akaun peribadi miliknya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM,Ahmad Akram Gharib, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar dan Francine Cheryl Rajarendram.

Manakala Guan Eng diwakili peguam Gobind Singh Deo, Ram Karpal Singh dan RSN Rayer.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker