Logo baharu PN perlukan masa untuk diterima pengundi

SHAH ALAM – Cadangan supaya parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) termasuk Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggunakan logo Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) merupakan langkah tepat.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Razlan Rafii berkata, soal kesediaan dan penerimaan rakyat terhadap logo baharu menjadi isu utama sekiranya PN mahu memperkenalkannya.

“Sekiranya PN mahu didaftarkan sebagai sebuah gabungan parti yang sah, dan jika pilihan raya berlaku dalam tempoh sebulan lagi, adakah rakyat kenal logo PN berbanding BN?

“Perkara sama berlaku kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 apabila mereka berhempas pulas memperkenalkan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada pengundi Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP agar memberikan undi kepada mereka,” katanya kepada Sinar Harian semalam.



Beliau berkata, apa yang penting kepada parti-parti kerajaan ialah memaksimumkan sokongan dan kemenangan pada PRU15 dengan mendapat majoriti besar.

“Ini penting kerana jika majoriti kecil, ia memberi kesan kepada rakyat kerana keadaan politik tidak stabil. Justeru, kita minta Pas, Bersatu dan rakan-rakan lain dalam kerajaan menyelesaikan masalah logo dan dasar parti dengan segera.

“Gunakan logo BN supaya kita dapat melaksanakan tugas dengan lebih mudah. Matlamat kita ialah memaksimumkan sokongan dan jumlah majoriti dalam Parlimen,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi ahli MT UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Abdul Rahman secara ringkas juga menyatakan sokongan terhadap cadangan tersebut.



“Sebagai orang UMNO dan BN, pastinya saya bersetuju dengan cadangan tersebut. Logo BN telah digunakan sekian lama dan sudah dikenali,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker