SPRM Siasat UDA Holdings dan Projek Pulau Jerejak Berkaitan Lim Guan Eng?

Share

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, belum berakhir dengan beberapa pendakwaan Jumaat lepas dan hari ini.

SuaraTV difahamkan SPRM telah membuka fail siasatan ke atas UDA Holdings Sdn Bhd berhubung projek pembangunan Pulau Jerejak, Pulau Pinang pada minggu lepas.

Sepasukan pegawai SPRM dilaporkan telah pun menggeledah dan mengambil dokumen daripada Setiausaha Syarikat yang menguruskan anak syarikat UDA Holdings.


Difahamkan siasatan setakat ini tertumpu kepada pengumpulan dan penjejakan dokumen berkaitan perjanjian usahasama antara anak syarikat UDA Holdings, Tropical Island Resort Sdn Bhd (TIRSB) dengan Q Island Development (QID) bagi pembangunan Jerejak Rainforest Resort and Spa (JRRS).

Pada November 2016, TIRSB memeterai perjanjian usaha sama dengan QID untuk membangunkan semula Jerejak Rainforest Resort & Spa (JRRS) dan kawasan seluas 32.37 hektar itu yang dimiliki oleh TIRSB.
Projek pembangunan Pulau Jerejak ini menjadi kontroversi apabila Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang ketika itu, Teng Chang Yeow, mendakwa wujud ketidaktelusan dalam proses pembangunan pulau tersebut.

TIRSB adalah syarikat usaha sama antara UDA Holdings Bhd dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dengan peratusan ekuiti masing-masing 51 peratus dan 49 peratus.


Manakala QID merupakan anak syarikat Ideal Property Group yang menjadi kontroversi dalam kes terowong dasar laut Pulau Pinang dan tiga lebuh raya.

Bulan lalu SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah menyerbu Ideal Protery Group berkaitan projek terowong dasar laut dan menahan bekas Pengerusi Suruhajaya Pelabuhan Pulau Pinang, Jeffrey Chew Eam untuk soal siasat.

Pembangunan Pulau Jerejak sebelum ini turut mendapat bantahan pencinta alam sekitar yang mahukan kerajaan negeri mewartakan Pulau Jerejak sebagai kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK).


Kerajaan negeri Pulau Pinang pada 2018 meluluskan Pulau Pinang sebagai sebagai kawasan pembangunan baharu berskala tinggi yang dijangka siap dalam tempoh lapan hingga 10 tahun akan datang.

Pelan induk pembangunan semula pulau yang diluluskan oleh kerajaan negeri dan ia merangkumi pembinaan jambatan menghubungkan Pulau Jerejak dengan pulau besar, 1,200 unit kediaman, pangkalan khas tempat kapal layar dan bot (marina) serta hotel berstatus empat dan lima bintang.

Turut sama akan dibangunkan ialah taman tema, laluan berbasikal mengelilingi pulau sejauh 15.5 kilometer dan kemudahan infrastruktur berkaitan bagi menggalakkan aktiviti pelancongan negeri.-SUARATV

Leave a Reply