Puteri Umno bimbang keselamatan keluarga, individu tular video judi

Share

Puteri Umno bimbang keselamatan individu difahamkan pemilik gerai burger dan ahli keluarganya susulan tindakan membongkar kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh.

Ketuanya Zahida Zarik Khan melahirkan kebimbangan itu selepas individu tebabit mendedahkan kemungkinan dia dibunuh atas tindakan memuat naik video di laman sosial.

“Sudah pasti tindakan ini akan mengundang kemarahan kepada sindiket judi apabila kerja jahat mereka dibongkar.


“Apa yang menjadi kembimbangan kami keselamatan individu ini dan ahli keluarganya yang berisiko tinggi diancam, diugut dan tidak mustahil juga dibunuh.

“Mohon pihak berkuasa seperti polis memberi perlindungan kepada beliau dan ahli keluarga serta jaminan keselamatan untuk mereka,” katanya hari ini.

Zahida berkata, aktiviti judi adalah isu yang berlaku sejak dulu dan sukar dibendung.


“Dilaporkan tauke-tauke ini amat licik dan tidak pelik jika dikatakan mereka mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa yang khianat.

“Diharap pihak berkuasa terus bertindak telus dalam membanteras sindiket perjudian dan maksiat dengan konsisten tanpa perlu ‘gemparan’ seperti ini. Kita tidak mahu aktiviti perjudian dan maksiat ini terus menjadi ‘perosak’ keluarga dan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, polis menyifatkan dakwaan wujud kegiatan perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh seperti yang tular di Facebook petang semalam tidak benar dan hanya tohmahan.


Ketua polis daerah Sungai Buloh Shafa’aton Abu Bakar berkata, individu terbabit tidak pernah tampil memaklumkan kepada polis kewujudan premis judi dan penjualan rokok seludup di kawasan berkenaan.

Shafa’aton berkata, tindakan pengadu itu memuat naik 2 video secara langsung menerusi akaun Facebook “Hot Burger Malaysia” semalam boleh menimbulkan fitnah dan merosakkan imej ketua polis daerah Sungai Buloh, ibu pejabat polis daerah (IPD) Sungai Buloh, ketua polis balai Sungai Buloh, Polis Diraja Malaysia dan ketua polis Selangor.

“Ini kerana maklumat yang diberikan dalam video berkenaan tidak tepat sehingga boleh menjatuhkan kredibiliti polis dalam menangani kegiatan perjudian di Sungai Buloh,” katanya. FMT

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!