Kit Siang dakwa tuduhan terhadap Guan Eng, Betty adalah penganiyaan
Tidak sampai 24 jam selepas Lim Kit Siang membuat rayuan terbuka daripada Perdana Menteri untuk menggugurkan pendakwaan pengubahan wang haram terhadap menantunya, Betty Chew.
Hari ini ahli politik veteran DAP yang juga bapa kepada Lim Guan Eng menulis lagi bagaimana dirinya yang baharu sahaja keluar hospital dan membuat keputusan mengurangkan aktiviti politik terbantut.
Tulis Kit Siang, sememangnya dakwaan terhadap Guan Eng dan Betty adalah satu penganiyaan serta sepatutnya diambil pengajaran.
“Selepas 55 tahun berjuang dalam arena politik negara untuk sebuah Malaysia yang lebih baik untuk semua, saya terfikir untuk kurang aktif dalam hal ehwal politik semasa – terutamanya memandangkan saya baru sahaja keluar dari hospital.
“Pengajaran yang dapat kita pelajari daripada penganiayaan terhadap Guan Eng dan Betty dapat dilihat dalam kata-kata ulung daripada Edmund Burke yang berbunyi ‘Satu-satunya perkara yang menjamin kemenangan kejahatan adalah apabila orang baik tidak melakukan apa-apa untuk menghentikannya.’
“Ramai rakyat Malaysia kecewa dengan prestasi pentadbiran 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tetapi kerajaan PH ini sepatutnya mempunyai mandat selama lima tahun untuk membuktikan kebolehannya.
“Apabila mandat Pilihan Raya Umum 2018 dicuri pada bulan Februari 2020 melalui satu konspirasi pintu belakang, terdapat kekecewaan dan perasaan putus asa dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Ianya mengenai masa depan dan potensi negara untuk menjadi sebuah negara bertaraf dunia berasaskan prinsip perpaduan, demokrasi, keadilan, kebebasan, kecemerlangan, integriti, dan kesusilaan.
Rakyat Malaysia telah melakarkan sejarah pada 9 Mei 2018 apabila kita memberikan peluang kedua kepada negara kita untuk menetapkan semula polisi pembinaan negara bagi memperbetulkan hala tuju Malaysia supaya negara kita tidak menjadi sebuah negara gagal yang dikenali sebagai sebuah kleptokrasi global.
“Adakah semua pencapaian ini akan menjadi sia-sia akibat konspirasi pintu belakang Langkah Sheraton?,” tulisnya.
Sambung Ahli Parlimen Iskandar Putri itu, rakyat Malaysia berasa kecewa malah sesetengah pula sudah berputus asa.
“Ramai antara kita telahpun memilih untuk berputus asa sejak Langkah Sheraton yang berlaku pada bulan Februari yang lalu.
“Namun begitu, kita tidak mampu untuk berputus asa.
“Sebuah Malaysia yang baharu dan hebat tidak akan dapat dicapai dalam tempoh 22 bulan mahupun lima tahun.
“Tetapi seluruh rakyat Malaysia harus berada di dalam satu trajektori yang baharu ini, untuk berkongsi satu iltizam dan impian bersama.
“Yang mana semua rakyat Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, sama ada beragama Islam, Buddha, Kristian, Hindu, ataupun Taoist mempunyai banyak persamaan bersama, hidup harmoni bersatu padi, dengan prinsip demokrasi, keadilan, kebebasan, kecemerlangan, integriti, dan kesusilaan.
“Ingatlah kata-kata Edmund Burke – Satu-satunya perkara yang diperlukan untuk kemenangan kejahatan adalah untuk orang-orang yang baik tidak melakukan apa-apa!,” jelasnya.
Kit Siang turut mengajak secara umumnya rakyat Malaysia untuk membawa perubahan bersama-sama.
“Marilah kita semua sebagai rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, jantina, mahupun umur, bersama meneruskan usaha untuk membawa negara kita ke suatu tahap yang lebih tinggi.
“Supaya ianya menjadi sebuah negara bertaraf dunia yang mengembelengkan nilai dan aset kepelbagaian kaum, agama, bahasa, dan budaya yang bertemu di negara kita ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette