Dakwaan kegiatan judi di Sungai Buloh tidak benar, polis mahu panggil individu tular video

Polis menyifatkan dakwaan wujud kegiatan perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh seperti yang tular di Facebook petang semalam tidak benar dan hanya tohmahan.

Ketua polis daerah Sungai Buloh Shafa’aton Abu Bakar berkata, individu terbabit tidak pernah tampil memaklumkan kepada polis kewujudan premis judi dan penjualan rokok seludup oleh warga asing dari Aceh di kawasan berkenaan.

Katanya, tindakan pengadu itu memuat naik 2 video secara langsung menerusi akaun Facebook “Hot Burger Malaysia” semalam boleh menimbulkan fitnah dan merosakkan imej ketua polis daerah Sungai Buloh, ibu pejabat polis daerah (IPD) Sungai Buloh, ketua polis balai sungai Buloh, Polis Diraja Malaysia dan ketua polis Selangor.

“Ini kerana maklumat diberikan dalam video berkenaan tidak tepat sehingga boleh menjatuhkan kredibiliti polis dalam menangani kegiatan perjudian di Sungai Buloh.



“Selepas pendedahan video berkenaan, polis melakukan 6 serbuan ke atas premis seperti ditularkan dalam Facebook Hot Burger Malaysia.

“Lima daripadanya kosong, manakala 1 premis masih beroperasi,” katanya pada sidang media hari ini.

Katanya, dalam serbuan itu polis menahan 2 lelaki Bangladesh dan merampas 5 tablet, 1 unit modem dan wang tunai berjumlah RM114.

“Lima premis di tempat berlainan didapati dalam keadaan berkunci dan polis terpaksa menggunakan pemotong besi dan kuku kambing untuk membuka pintu premis. Pemeriksaan dalam premis itu didapati tidak beroperasi.



“Semua tangkapan dan rampasan dibawa balik ke IPD Sungai Buloh untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sepanjang tahun ini, Shafa’aton berkata, IPD Sungai Buloh melakukan 9 serbuan dengan kejayaan 7 tangkapan ke atas penjaga premis perjudian, 8 tangkapan pemain, 5 rampasan komputer riba dan 23 rampasan tablet dengan jumlah wang tunai sebanyak RM546.

Beliau mempersoalkan motif individu yang menularkan video berkenaan dengan mendakwa nyawanya terancam kerana membuat pendedahan itu.

“Kita sedang mengesannya dan akan memanggilnya dalam masa terdekat untuk menjalankan siasatan, termasuk mendapatkan maklumat mengenai pendedahannya,” katanya.



Dalam video tular yang dikongsikan pemilik akaun Facebook Asri Janggut, sejak petang semalam, pengadu membangkitkan isu kegiatan perjudian di beberapa unit kedai dan kegiatan penjualan rokok seludup.

Selain itu, dia turut mendakwa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan polis disyaki menerima suapan daripada sindiket menjalankan kegiatan haram berkenaan.

Sebelum sidang media polis Sungai Buloh, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador, bertegas akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang bersekongkol dengan sindiket terbabit.

Sambil berterima kasih kepada individu yang mendedahkan kegiatan itu menerusi video yang tular semalam, beliau berkata, tindakan tegas pasti diambil termasuk terhadap mereka yang bersekongkol dalam aktiviti jenayah itu. FMT



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker