Takiyuddin ingatkan Guan Eng jangan hina mahkamah

KOTA BHARU – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan mengingatkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh dianggap sebagai menghina mahkamah.

Takiyuddin berkata, berkait dengan kes beliau yang dibawa ke mahkamah itu, Guan Eng seharusnya tahu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun pihak berkuasa menjalankan tugas berdasarkan undang-undang.

Menurutnya, apabila sesuatu kes itu telah dibicarakan di mahkamah mana-mana pihak tidak boleh mengeluarkan kenyataan yang berisiko menghina badan kehakiman tersebut.

“Maknanya di dalam Parlimen itu sendiri bebas untuk bercakap tetapi apabila perkara itu (yang mahu dibangkitkan) dibicara di mahkamah ia tidak boleh disebut berkaitan saksi atau apa-apa kes. Ia dianggap subjudis.

“Saya ingatkan kepada orang ramai dan orang berkenaan, apabila sesuatu perkara telah berada di mahkamah ia amat berisiko kalau ada pihak yang memberi ulasan berlebihan. Berhati-hati hendak komen,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali Ke 42 Tahun 2020 Majlis Jaksa Pendamai (JP) Kelantan di The Grand Renai hari ini yang turut dihadiri Presiden Majlis JP negeri, Datuk Sri Zukri Samat.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Guan Eng yang menganggap tuduhan kes rasuah terhadap dirinya membabitkan projek terowong di dasar laut di Pulau Pinang bermotifkan politik.

Setiausaha Agung DAP itu juga menyatakan yang tuduhan berkenaan tidak berasas dan mencemarkan nama baiknya sebagai ahli Parlimen.

SH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker