Semalam nak tumbuk, hari ini suruh berimamkan Muhyiddin Yassin

Faizal: ‘Tak semesti berimamkan Dr M baru perjuangan diterima Allah’

Penubuhan parti baru oleh Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan menggugat perjuangan parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Timbalan Presiden Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau yang juga menteri besar Perak berkata, semangat ahli-ahli Bersatu masih kekal utuh dan setia bersama kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang terbukti mempunyai kebolehan meneraju negara.

Baca : ‘Siapa mengata Dr M dan Mukhriz, saya tumbuk’

“Saya tidak nampak hala tuju perjuangan (parti baru), kerana hari ini parti kita dah ada dalam kerajaan dan perdana menteri juga, daripada parti Bersatu sendiri.

“Kalau berkenaan perjuangan, pada saya kita nak bernaung kat mana, atas kapasiti apa pun boleh. Tak semestinya kita ‘berimamkan’ Tun Mahathir, baru perjuangan kita diterima Allah SWT.

“Saya kira banyak pemimpin lain…Muhyiddin pun seorang imam (pemimpin) yang boleh kita ikuti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Bahagian Bersatu Negeri Terengganu, di Kuala Nerus hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Terengganu Datuk Razali Idris.

Bersatu T’ganu jangka 10 peratus ahli keluar parti

Bagaimanapun pada masa sama Ahmad Faizal tidak menolak kemungkinan, akan ada ahli-ahli yang keluar parti kerana ditawarkan jawatan lebih tinggi dalam parti baru, atau bekas-bekas pemimpin bahagian yang tewas dalam pemilihan parti di peringkat bahagian, yang berlangsung awal tahun ini.

“Hari ini pemimpin kita sudah diterima oleh rakyat, jadi tidak ada alasan untuk kita tinggalkan parti dan perdana menteri,” katanya yang turut menepis tohmahan bahawa Bersatu sudah tersasar daripada asas perjuangan menentang amalan kleptokrasi.

Sementara itu, Razali berkata Bersatu Terengganu menjangkakan 10 peratus daripada kira-kira 15,000 ahlinya akan keluar parti dan menyertai parti baru.

Bagaimanapun beliau menyifatkan perkara itu adalah masalah biasa dan tidak akan menjejaskan Bersatu di Terengganu.

“Saya jangka 10 peratus ahli akan keluar, tetapi bukan dalam kalangan mereka yang memegang jawatan tinggi dalam parti,” katanya.

– Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker