PDRM sedia beri senjata api

KUALA LUMPUR: Jika dahulu kumpulan gengster sering dikaitkan dengan judi haram atau pelacuran namun kebe­lakangan ini mereka dikesan meng­ubah kegiatan dengan beralih kepada penyeludupan rokok dan arak di pelabuhan-pelabuhan utama.

Malah, situasi ber­ubah susulan pelaksanaan Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP), Pe­rin­tah Kawalan Pergerakan Ber­syarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akibat ancaman Covid-19 sehingga menyebabkan ba­nyak aktiviti terhenti.

Modus operandi sindiket ini menyasarkan pelabuhan-pelabuhan utama yang sibuk kerana lokasi itu menerima ba­nyak kemasukan kontena hingga berlaku penyelewengan konon ‘terlepas pandang’ barangan seludup melalui mesin pengimbas sedia ada.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador kepada Utusan Malaysia semalam sambil meng­akui sedia maklum senario ter­sebut, namun tiada laporan di­terima.



Lebih teruk lagi, kegiatan seludup itu semakin membimbangkan kerana ada sin­diket dengan be­­rani­nya mengancam keselamatan pegawai-pegawai penguat kuasa demi ‘menghalal­kan’ kegiatan mereka.

Tidak cukup dengan itu, ada sebahagian penguat kuasa yang ‘tamak’ hingga sanggup bersekongkol dengan memberi laluan selamat untuk membawa kontena berisi rokok dan arak seludup keluar dari pelabuhan berkenaan.

Difahamkan, ada kontena yang berjaya dibawa keluar oleh sindiket, kemudiannya ‘dirompak’ oleh kumpulan gengster yang lain namun tiada laporan polis dibuat memandangkan kontena berisi bara­ngan seludup.

Kata Abdul Hamid, dalam pertemuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia baru-baru ini mereka ada membincangkan beberapa isu di pelabuhan termasuk kesedia­an PDRM memberi kerjasama dari sudut keperluan senjata api.



“Kita ada dengar ramai pegawai penguat kuasa di pelabuhan diugut dan digertak oleh gengster sehingga ada antara­nya diacukan senjata api. Mungkin pegawai-pegawai tersebut takut dan tidak tampil lapor kepada kita.

“Kita mohon mana-mana pi­hak yang terancam tampil membuat laporan polis. Jangan takut kerana maklumat mereka tidak akan didedahkan selain PDRM sedia beri pihak Kastam senjata api jika diperlukan,” katanya.

Tegas Abdul Hamid, beliau sama sekali tidak akan bagi muka pada mana-mana gengster dan memberi amaran akan me­nahan sesiapa sahaja jika didapati terlibat dalam jenayah berke­naan.

Beliau turut mendedahkan tiga pegawai kanannya yang bertugas di Semenanjung sudah berada dalam ‘radar’ perhatiannya kerana mereka disyaki terlibat dalam ‘memudahkan urusan penyeludupan’ di pelabuhan.



Turut berada dalam senarai ‘radar’ tersebut termasuk seorang kenamaan (VIP) berpangkat Datuk Seri. Bagaimanapun Abdul Hamid enggan mengulas lanjut penglibatan VIP tersebut.

“Saya sudah cukup beri ama­ran kepada semua pegawai dan anggota PDRM jangan terlibat dan bersekongkol dengan mana-mana kumpulan gengster tetapi masih ada lagi yang tamak hingga sanggup menjadi ‘balaci’ kepada sindiket-sindiket ini.

“Saya nasihatkan VIP terbabit segera hentikan aktivitinya,” katanya

utusan



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker