Kadir Jasin umum keluar Bersatu

Tokoh wartawan A Kadir Jasin mengumumkan telah keluar Bersatu.

“Saya keluar Bersatu berkuatkuasa 6 Ogos 2020 melalui surat kepada Setiausaha Kerja (Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya) pada tarikh yang sama,” katanya pada suatu kenyataan ringkas hari ini.

Bekas ahli majlis tertinggi Bersatu itu pernah menjadi penasihat media kepada Dr Mahathir Mohamad.

Selepas pembentukan kerajaan PN, Bersatu berpecah kepada dua kem, penyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan bekas pengerusinya Dr Mahathir.

Kadir dilihat sebagai pemimpin Bersatu yang berpihak kepada bekas perdana menteri itu.

Tindakan Kadir selepas Dr Mahathir pada petang tadi memaklumkan akan menubuhkan satu lagi parti yang “akan berasas kepada pejuangan untuk orang Melayu dan peribumi” sebagaimana Bersatu yang diasaskannya sebelum ini.

Turut kelihatan pada sidang media Dr Mahathir hari ini ialah bekas pemimpin Bersatu, Marzuki Yahya, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading, Shahruddin Md Salleh.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak hadir dan dikatakan sedang berada di Johor untuk meraikan majlis persaraan ibunya.

Parti baru itu buat sementara waktu akan diterajui oleh Mahathir sebagai pengerusinya dan anaknya Mukhriz Mahathir sebagai presiden.

Dr Mahathir berkata matlamat parti baru itu masih bertujuan “menghapus rasuah dan kleptokrasi” dan menegaskan perjuangan wadah politik baru itu “berasas semangat, bukan duit.”

Ahli parlimen Langkawi juga meramalkan parti barunya akan menghadapi “masalah” dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) seperti yang pernah dialami Bersatu dan Pakatan Harapan sebelum PRU14.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden PAS Abdul Hadi Awang memberikan maklum balasnya mengenai langkah politik terbaru bekas perdana menteri itu.

“Itu terpulang kepada Tun Mahathir. Malaysia sebuah negara demokrasi, tiada siapa boleh halang untuk tubuh parti,” katanya pada ciapan di Twitter.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker