Bersatu Klang terbubar

Bersatu Bahagian Klang terbubar secara rasmi apabila kepimpinannya mengumumkan keluar parti hari ini.

 

KLANG – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Klang terbubar berkuatkuasa hari ini selepas pemimpin dan akar umbi bahagian itu mengumumkan keluar parti.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Bersatu Bahagian Klang, Datuk Syed Abdillah Syed Abd Aziz dalam sidang akhbar di Pejabat Bersatu Bahagian Klang, Pandamaran petang tadi.

Syed Abdillah berkata, keseluruhan pemimpin dan akar umbi bahagian itu berpandangan wadah perjuangan Bersatu sudah tersasar, tiada hala tuju, hilang prinsip serta tidak mempedulikan lagi suara rakyat.

Menurutnya, pemimpin dan akar umbi bahagian itu juga sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti.

“Hala tuju parti yang tidak menentu selepas keluar dari Pakatan Harapan dengan harapan satu bentuk perikatan baharu, Perikatan Nasional dibentuk.

“Namun sehingga kini ia masih tidak diluluskan dan tidak diterima oleh jemaah Perikatan Nasional lain,” katanya.

Syed Abdillah (dua dari kiri) memasukkan buku Perlembagaan Bersatu ke dalam plastik hitam sebagai gimik ketika pengumuman pembubaran Bersatu Bahagian Klang hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga dimaklumkan ahli, calon yang terlibat dalam gerakan protes Bersatu Blackout akan dipecat manakala bahagian yang terlibat akan dibubarkan.

“Pemecatan tersebut akan dijalankan kerana tidak mengikut arus dan aspirasi pucuk pimpinan, sedangkan tiada apa-apa surat tindakan disiplin diajukan sehingga ke hari ini.

“Kami juga sebulat suara berpendapat, kalau enam pucuk pimpinan boleh dipecat atau istilah yang digunakan ‘terhenti serta merta’ apatah lagi nasib kami di peringkat bahagian dan akar umbi,” katanya.

Katanya, pihaknya akan memperjuangkan pendemokrasian semula Bersatu dengan penubuhan parti baharu oleh Tun Dr Mahathir semalam.

“Kami sebulat suara memohon menjadi anggota ahli parti baharu ini serta-merta hari ini,” katanya.

Sementara itu, usaha Sinar Harian mendapatkan maklum balas daripada Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari masih belum berjaya setakat ini. SH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker