‘Bersatu Johor panas, ahli memberontak mahu sertai parti Dr M’

Situasi Bersatu Johor dikatakan panas dengan pemberontakan di kalangan ahli-ahlinya, menurut sumber.

Bahkan bahagian presiden parti Muhyiddin Yassin di Pagoh juga, kata sumber lagi mungkin tidak selamat dari penghijrahan ahli-ahlinya ke dalam parti baru Dr Mahathir Mohamad.

Walaupun parti baru itu masih belum mempunyai nama lagi, seorang Adun kanan Bersatu Johor memberitahu Malaysiakini terdapat minat yang sangat besar untuk menyertainya.

“Walaupun parti itu belum wujud. Perasaan nak sertai parti itu khususnya daripada ahli-ahli Bersatu nampak agak menyerlah juga lah,” kata wakil rakyat yang enggan namanya disiarkan itu.

Sebelum ini, ketika krisis “langkah Sheraton” sedang memuncak, 19 daripada 26 bahagian Bersatu Johor telah menyatakan sokongan mereka kepada Mahathir setelah Muhyiddin dilaporkan memberi lampu hijau terhadap rampasan kuasa di negeri itu.

Tidak jelas jika kesetiaan ini masih tetap sama memandangkan pemimpin negeri kem Mahathir Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang pada ketika itu kini telah menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri PN.

Tidak lama selepas PN mengambil alih negeri ini, terdapat perbezaan pendapat di dalam Bersatu Johor dengan beberapa pemimpin tidak senang diketepikan oleh Umno dalam kerajaan negeri yang baru.

Suatu rampasan kuasa dilaporkan dirancang, namun dihentikan oleh Sultan Johor Sultan Iskandar yang bertitah memberi amaran untuk membubarkan DUN sekiranya berlaku perebutan kuasa.

Disoal sekiranya parti baru itu telah mencetuskan rundingan baru, sumber PH Johor berkata muncul desas-desus bahawa Adun Bersatu akan menyertai parti baru Dr Mahathir.

Beliau berkata hal tersebut akan tampak lebih jelas semasa pilihan raya kecil Slim di Perak, yang akan ditandingi oleh kem Mahathir.

Setakat ini parti baru Mahathir mendapat sokongan dua ahli parlimen Johor, mereka ialah Ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Mohd Salleh dan Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang telah disingkirkan daripada Bersatu bersama-sama Mahathir, belum menyatakan pendiriannya.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baru yang “akan berasas kepada pejuangan untuk orang Melayu dan peribumi” sebagaimana Bersatu yang diasaskannya sebelum ini tetapi tidak terikat menyokong PN atau PH.

Menjelaskan asas perjuangan parti politik baru yang belum dinamakan itu, Dr Mahathir berkata matlamatnya masih bertujuan “menghapus rasuah dan kleptokrasi.”

Shahruddin ketika dihubungi hari ini berkata beliau yakin ramai ahli akar umbi Bersatu di Johor akan menukar keanggotaannya menyertai parti baru itu.

“60 ke 70 peratus akan berhijrah. Terutama ahli-ahli tanpa jawatan dalam bahagian,” kata MP Sri Gading itu. Mkini

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker