Parti Mahathir mampu menjadikan Mukhriz Presiden tetapi tidak boleh bertahan lama

Dr M perlu akar umbi untuk jadi kuasa ketiga – Penganalisis

Pembentukan parti berasaskan Melayu dan Pribumi oleh Dr Mahathir Mohamad dilihat masih terlalu awal untuk menjadi kuasa penentu atau kuasa ketiga dalam politik tanah air.

Penganalisis politik berpendapat, parti yang akan diasaskan anggota parlimen Langkawi itu masih memerlukan sokongan akar umbi yang kuat sebelum boleh menjadi kuasa ketiga yang akan menentukan blok mana yang akan memenangi pilihan raya umum akan datang.

“Untuk bergelar sebagai kuasa ketiga dalam senario politik tempatan, ia bergantung sama ada parti baru Tun M berjaya membawa ahli Bersatu berhijrah ke parti beliau atau tidak.

“Parti politik di Malaysia hidup matinya amat bergantung kepada sokongan akar umbi iaitu parti tersebut memerlukan sokongan ahli,” kata pensyarah Geostrategi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan.

Bagaimanapun, beliau berpendapat adalah sukar bagi Dr Mahathir untuk mengerakkan ahlinya memandangkan masa yang suntuk menjelang PRU15.

“Perlu diingat, Bersatu juga tidak mempunyai struktur sokongan akar umbi yang kukuh.

“Sebab itu juga saya berpendapat tidak akan berlaku pernghijrahan secara besar-besaran oleh ahli Bersatu sedia ada.

“Kesannya ialah parti baru Tun M ini tidak akan memainkan peranan berkesan dalam senario politik negara,” tambahnya.

Prof Madya Dr Azmi berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Dr Mahathir untuk menubuhkan sebuah parti baru bersama lebih 300 penyokongnya hari ini.

Dr Mahathir berkata parti tersebut “akan berasaskan kepada pejuangan untuk orang Melayu dan peribumi” sebagaimana Bersatu yang diasaskannya sebelum ini.

Parti bebas yang belum dinamakan itu bagaimanapun tidak akan terikat kepada mana-mana blok sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).

Dr Azmi berpendapat tawaran parti berasaskan Melayu yang hampir serupa dengan Umno dan Bersatu dilihat kurang menarik, sekali gus menyukarkan Dr Mahathir untuk menarik sokongan ahli baru dalam parti berkenaan.

“Agak kurang menarik tawaran parti Tun M kerana visinya serupa dengan Bersatu dan juga Umno iaitu untuk orang Melayu dan tiada sesuatu yang baru sebenarnya.

“Sebab itu untuk menarik simpati selain dari ahli Bersatu saya melihat agak sukar sekali,” katanya.

Perlu ada gabungan

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung pula berkata parti baru Dr Mahathir tidak mampu bertahan jika bergerak bebas secara bersendirian.

Menurutnya, senario politik di Semenanjung Malaysia adalah berbeza dengan Sabah dan Sarawak yang memiliki banyak parti politik.

“Di Sabah dan Sarawak ada banyak parti. Maka pengundi berpecah. Tapi di semenanjung ada cuma dua kuasa besar iaitu PH dan PN.

“Jika hendak memenuhi agenda, parti baru itu perlu menyertai dalam gabungan,” katanya.

Justeru katanya, meskipun Dr Mahathir masih belum bersedia untuk mengalah dalam politik, sukar untuk parti tersebut bergerak sendirian.

“Sangat sukar untuk bertahan tanpa mempunyai gabungan yang kuat,” katanya.

Bersatu merupakan parti politik ditubuhkan oleh Dr Mahathir pada tahun 2016 bersama presidennya Muhyiddin Yassin selepas kedua-duanya menentang kerajaan pimpinan bekas perdana menteri Najib Razak yang terpalit dengan skandal 1MDB.

Bersatu kemudian bergabung dengan Pakatan Harapan dan memenangi pilihan raya umum dan Mahathir dilantik sekali lagi sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, krisis politik pada Feb lalu menyaksikan Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan tempatnya digantikan Muhyiddin Yassin yang menubuhkan gabungan politik baru bersama Umno, PAS dan beberapa parti lain.

Mahathir juga hilang penguasaannya dalam Bersatu yang dipimpin oleh Muhyiddin selaku presidennya.

Sebelum ini, kem Dr Mahathir yang turut terdiri daripada enam anggota parlimen menggelarkan diri mereka sebagai Bersatu Blackout dan bergabung secara tidak rasmi dengan PH dan Warisan.

Namun gabungan itu menemui jalan buntu untuk mengambil alih semula kerajaan berikutan pertikaian mengenai soal calon perdana menteri antara Mahathir dan Presiden PKR,  Anwar Ibrahim.

Dr M masih mampu jadi kuasa ketiga

Bagi pemerhati politik tanah air, Anbumani Balan pula yakin penubuhan parti baru yang akan diasaskan Mahathir mampu memecahkan pimpinan Bersatu yang tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan parti.

“Saya ramal, Bersatu akan berpecah kerana parti baru ini. Sebab, ada segelintir dalam Bersatu masih tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan parti,” jelasnya kepada Malaysiakini.

Anbumani juga berkata Mahathir perlukan satu platform yang kukuh untuk meneruskan perjuangan politiknya.

“Saya melihat Tun (Dr Mahathir) mungkin mempunyai alasan yang kukuh untuk menubuhkan parti baru. Buat masa ini beliau tidak mempunyai parti.

“Dia perlu satu kenderaan kembali ke politik nasional. Ini kerana dia masih mempunyai banyak penyokong dan pengikutnya,” katanya.

Tambahnya, beliau yakin Dr Mahathir masih mampu menjadi kuasa ketiga dalam PRU15 nanti walaupun tidak menyertai PH.

“Kaum Melayu mengikuti suasana semasa politik negara dengan dekat.

“Walaupun PH tidak menerima parti Dr Mahathir, beliau masih mampu menjadi kuasa ketiga. Ini kerana beliau ada penyokong yang kuat,” katanya – MK

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker