Pemuda UMNO Tegas Desak Kerajaan Wujudkan RCI Tabung Haji

 

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, suruhanjaya itu perlu menyiasat kebenaran tuduhan Pakatan Harapan bahawa berlaku penyelewengan dalam Tabung Haji.

Menurut Asyraf Wajdi, sehingga kini tidak ada satupun tuduhan penyelewengan oleh PH itu didakwa di mahkamah. RCI itu juga boleh menyiasat termasuk dakwaan berlakunya jualan lambak ke atas 76.2 peratus ladang-ladang milik TH Plantations dengan harga di bawah nilai pasaran.

“Ini tidak termasuk aset-aset hartanah Tabung Haji bernilai RM10 bilion yang sudah terjual kepada syarikat milik Kementerian Kewangan, Urusharta Jemaah Sdn Bhd.

“Aset-aset ini termasuklah tanah TRX bernilai RM400 juta dan hotel-hotel Tabung Haji seluruh Malaysia yang selama ini banyak menyumbang kepada perolehan Tabung Haji,” kata Asyraf Wajdi dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad berkata, kerajaan hanya akan menimbangkan penubuhan jawatankuasa petugas khas untuk mengkaji urus niaga Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) jika ada keperluan.

Zulkifli berkata demikian untuk menjawab soalan Dr Mujahid Yusof (PH-Parit Buntar) yang bertanya sama ada kerajaan Perikatan Nasional bercadang menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat urus niasa Tabung Haji.

Menurut Asyraf Wajdi, sebelum PH memerintah, Tabung Haji tidak pernah gagal dalam merealisasikan matlamat penubuhan yang bukan sahaja menguruskan segala keperluan urusan dan hal ehwal kebajikan jemaah Haji, tetapi juga menjana ekonomi umat Islam.

Kecemerlangan Tabung Haji bukan sahaja diiktiraf oleh dunia malah prestasi kewangan yang memberangsangkan setiap tahun membolehkan pendeposit berkongsi hibah dan bonus setiap tahun secara purata tidak kurang daripada 6.25 peratus  setelah ditolak zakat 2.5 peratus.

“Sebab itulah, apabila pelbagai tuduhan penyelewengan, skandal, defisit yang melanda secara tiba-tiba sejurus selepas PH memerintah mencetuskan pelbagai tanda tanya dan polemik berterusan.

“Justeru, Pemuda UMNO menuntut agar Kerajaan PN dapat menilai kembali keputusan untuk tidak menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja ini,” kata Asyraf Wajdi.

Menurut Asyraf Wajdi, hanya RCI mampu menghentikan polemik tuduh-menuduh atas segala penyelewengan dan penyimpangan terhadap urusniaga TH yang tiada berkesudahan.

Ia sekaligus mengembalikan keyakinan 9.3 juta pendeposit dan pelabur institusi terulung umat Islam

 

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker