Jho Low, pelarian 1MDB sembunyi di China, kata KPN

Share

Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang didakwa dalang skandal 1MDB dan suspek lain dipercayai sedang bersembunyi di China, kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador yang menggesa pihak berkuasa di negara itu memburu pelarian terbabit.

Minggu lalu, polis berkata, Low dipercayai bersembunyi di Macau, tetapi Beijing menolak cadangan itu dan bertegas ia tidak melindungi penjenayah asing.

Bagaimanapun, Hamid berkata, seorang wanita yang ditahan tahun ini menghantar dokumen kepada Low di Macau dan pihak berkuasa menyimpulkan dia berada di sana.


Katanya, bekas ketua pegawai eksekutif anak syarikat 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil, dipercayai berada di Hong Kong, manakala bekas pegawai dana itu, Jasmine Loo dikatakan berada di bandar Shenzhen, China.

“Jho Low hampir bebas menjalankan perniagaannya” di Macau, katanya dalam wawancara dengan AFP dan meminta bantuan pihak berkuasa di sana.

“Kami mahu pihak berkuasa, polis di Macau bertindak secara bertanggungjawab.


“Tidakkah pihak berkuasa di Macau mempunyai naluri polis untuk membantu kami?” soalnya.

Kedudukan Low sekian lama menjadi spekulasi dan dia dikatakan berada di lokasi lain, termasuk Emiriah Arab Bersatu. Dia didakwa di Malaysia dan China atas skandal 1MDB, tetapi menafikan sebarang salah laku.

Hamid berkata, hubungan dengan polis Hong Kong bertambah buruk dalam beberapa tahun ini, menghalang usaha penguatkuasaan undang-undang di sana.


Pegawai di Hong Kong dan Macau tidak memberi maklum balas terhadap permintaan untuk komen.

Hamid berkata, sukar untuk mengetahui bila beliau akan berjaya menahan Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low dan pelarian lain dalam skandal 1MDB.

“selagi kekurangan kerjasama daripada pihak berkuasa di Hong Kong atau Macau…mustahil untuk saya memberikan sebarang tarikh.”

Tetapi, katanya: ” Kami tidak akan berhenti. Kami akan bawa mereka ke muka pengadilan.” FMT

Leave a Reply