Gerak hati jadi nyata

“SEJAK beberapa hari lalu, gerak hati saya sering terbayang arwah terbabit dalam kemalangan.

“Tak sangka pula perkara yang menjadi kerisauan saya benar-benar berlaku,” kata Endok Oti Ahmad, 65, yang anaknya, Dayana Damsah, 27, maut dalam kemalangan jalan raya di Kampung Kijang berhampiran Jambatan Merotai Besar di sini, semalam.

Dalam kemalangan jam 6 pagi, kereta dinaiki Dayana yang bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Umas-Umas (SK Umas-Umas) hilang kawalan lalu terbabas dan terjunam ke tebing sungai di lokasi kejadian.

Kemalangan itu turut mengorbankan rakan setugasnya, Nurizyani Kafli@Masri, 24, yang meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Tawau manakala pemandu kereta, Hasnaini Paiori, 38, dan Nur Zairah Aladin, 35, dilaporkan mengalami kecederaan parah.

Ketika kejadian, keempat-empat guru terbabit dalam perjalanan untuk bertugas di SK Umas-Umas. Mereka juga sering berkongsi kereta untuk ke sekolah.

Menurut Endok, sebelum ini dia pernah meminta Dayana bertukar ke sekolah lain yang dekat dengan kediamannya di Kampung Pasir Putih di sini, berikutan SK Umas-Umas agak jauh.

“Saya ada meminta dia bertukar sekolah lain yang lebih dekat kerana setiap hari terpaksa berulang-alik berikutan jarak antara sekolah dan rumah agak jauh.

“Bagaimanapun, saya berasa sangat sedih apabila anak yang baru melangsungkan perkahwinan minggu lalu (27 Julai) maut dalam kemalangan,” katanya.

Endok berkata, arwah anaknya itu seorang yang pemurah dan suka bersedekah, malah kerap menginfakkan gajinya kepada pertubuhan serta badan amal termasuk rumah anak yatim.

Selain itu, katanya, arwah juga aktif dan sering terbabit dengan kerja sukarelawan selain mengedarkan bantuan kepada fakir miskin dan asnaf termasuk golongan ibu tunggal.

“Malah, semasa mula bertugas di SK Umas-Umas empat tahun lalu, dia pernah menyatakan tidak akan berkahwin selagi saya dan bapanya, Damsah Lonting belum merasa duit gajinya dan mengerjakan umrah.

“Arwah seorang yang cermat serta bertangungjawab dan dalam tempoh tidak sampai dua tahun berkhidmat sebagai guru, anak bongsu daripada empat beradik itu mampu mengumpul wang sehingga kami bertiga berpeluang menunaikan ibadah umrah pada 2018.

“Selepas semua hajatnya tercapai, arwah pergi meninggalkan kami,” katanya. HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker