Usah hasut rakyat guna sentimen bukan orang KL, kata Annuar pertahan jawatan menteri WP

Annuar Musa mempertahankan kedudukannya sebagai menteri Wilayah Persekutuan dan mengkritik ahli Parlimen Pakatan Harapan yang menuduhnya tidak layak menjaga kepentingan warga ibu kota kerana berasal dari negeri lain.

Katanya, sindiran ahli Parlimen PH terhadapnya tidak wajar kerana pentadbiran bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad sendiri melantik Khalid Samad (PH-Shah Alam) sebagai menteri Wilayah Persekutuan.

“Ada yang menjadi sebutan awam, tular dan tidak manis, iaitu secara tidak langsung buat sindiran saya ini orang luar, hendak campur tangan hal orang Kuala Lumpur. Disebutkan juga saya ini orang Ketereh, Kelantan hendak campur tangan soal orang Kuala Lumpur.

“Saya sebutkan di sini, kita tidak boleh ungkit menteri itu datang dari mana, sebab kalau tanya kerajaan dahulu, dari mana datangnya Shah Alam (Khalid) yang dilantik sebagai menteri Wilayah Persekutuan. Shah Alam juga dilahirkan di Kota Bharu, sebahagian keluarganya datang dari Johor.



“Kita juga tahu, Langkawi (Dr Mahathir Mohamad) jadi perdana menteri, dia bukannya orang Kuala Lumpur. Perkara ini bersifat peribadi sedikit, jadi janganlah hasut rakyat menggunakan sentimen sama ada orang Kuala Lumpur atau tidak, itu tidak manis,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Tanpa memetik nama mana-mana ahli Parlimen, Annuar dipercayai merujuk kenyataan Hannah Yeoh (PH-Segambut) dan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang didakwa mempertikaikan kelayakan Annuar sebagai menteri Wilayah Persekutuan.

“YB sendiri (Yeoh) hanya lahir di Kuala Lumpur, duduknya di Selangor. Saya juga tahu alamat rumah YB (Fahmi) kerana berkahwin dengan orang Kuala Lumpur. Untuk makluman, sewaktu Hannah dilahirkan pada 1979, 4 tahun sebelum dilahirkan, saya sudah bermastautin di Kuala Lumpur.

“Fahmi pula lahir pada 1981, pada 1981 saya sudah memiliki rumah pertama saya dan menjadi pegawai perancang bandar di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan menetap di Kuala Lumpur. Pada 1981 juga, saya sudah bermastautin dalam Parlimen Segambut,” katanya. FMT



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker