Undang-undang tak cukup untuk tangani pemilik kediaman rasis, Putrajaya diberitahu

Seorang ahli akademik dan 2 ahli politik mengingatkan Putrajaya agar jangan berharap undang-undang baru akan menghentikan diskriminasi kaum dalam pasaran sewa kediaman.

Mengulas pengumuman Akta Sewaan Kediaman sedang digubal, Denison Jayasooria dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata kerajaan akan berdepan kesukaran menguatkuasakan undang-undang itu kerana sukar untuk membuktikan rasisme.

Katanya, pemilik kediaman yang rasis tidak akan berterus-terang kenapa dia menolak seseorang.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen pula berkata pendidikan perlu untuk menghentikan rasisme. “Undang-undang boleh membantu, tetapi kita akan dapat hasil lebih yang baik menerusi pendidikan dan lebih banyak interaksi antara kaum.”

Bekas ahli Parlimen Cameron Highlands Sivarraajh Chandran berkata undang-undang mesti dilengkapkan dengan galakan nilai dan amalan yang baik.

Beliau mendakwa orang India berdepan lebih banyak kesukaran dalam mencari tempat untuk disewa berbanding orang lain. “Saya percaya ini kerana stereotaip yang memberikan gambaran negatif tentang orang India,” katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin baru-baru ini mengumumkan hasrat kerajaan untuk menggubal undang-undang baru itu. Ia menyusuli laporan tentang kejadian pemilik kediaman enggan terima penyewa atas dasar kaum.

Zuraida berkata rang undang-undang itu akan dibawa ke Parlimen awal tahun depan.

Jayasooria, yang merupakan seorang ahli sosiologi, mendakwa masih ada rakyat yang dipengaruhi perasaan perkauman.

“Seorang tuan rumah mungkin tidak mahu sewakan hartanahnya kepada seseorang yang masak kari atau bakar kemenyan kerana bau yang kuat,” katanya.

Beliau berkata pemilik kediaman boleh meletakkan syarat seperti “tidak boleh memasak” dalam perjanjian sewa tetapi tidak boleh menyatakan kaum atau agama seseorang.

Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan dalam kenyataan bertulis berkata undang-undang yang dicadangkan itu tidak boleh menyekat hak pemilik kediaman untuk menolak seseorang atau mengusir seseorang yang sedang menyewa hartanah mereka.

“HBA tolak diskriminasi kaum tetapi sekiranya seorang pemilik kediaman bertemu seseorang yang nampak seperti bermasalah, dia patut ada hak untuk tidak menyewakan hartanahnya,” katanya.

“Tiada pemilik kediaman yang mahu tanggung kos baik pulih hartanah yang rosak teruk kerana dalam kebanyakan kes seperti itu deposit sewa 2 bulan dan deposit utiliti setengah bulan tak cukup.”

Jayasooria berkata tiada bukti saintisif yang mengaitkan jenayah dengan kaum. “Ada penjenayah dalam semua komuniti,” tambahnya. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker