‘Najib dah didapati bersalah, cari generasi baru pimpin Umno’ – KJ

Share

Ahli Parlimen Rembah Khairy Jamaluddin mengulang kenyataannya sebelum ini bahawa mesejnya tidak boleh dinafikan yang Umno perlu bergerak ke hadapan.

Menteri sains, teknologi dan inovasi itu dipetik Astro Awani berkata masih ada yang mahu bekas perdana menteri Najib Razak kembali menerajui parti sebagai presiden Umno, walaupun beliau sudah didapati bersalah di mahkamah

“Saya cakap benda yang menjadi rahsia terbuka sekarang ini. Masih ada yang berharap Datuk Seri Najib kembali sebagai presiden Umno.

“Ini yang saya maksudkan. Mereka tak nak cakap benda ini, tapi saya terpaksa cakap. Bagi saya, kita perlu bergerak ke hadapan. Cari generasi baru untuk memimpin Umno,” katanya.

Khairy berkata kenyataannya sebelum ini mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd.

Jelasnya hari ini, beliau tidak berniat untuk “biadap terhadap Datuk Seri Najib” dengan kenyataannya itu bahawa “Umno perlu bergerak ke hadapan.”

“(Kita perlukan) yang boleh mengambil alih, yang boleh diberikan masa sekarang untuk membuat perancangan, untuk lima hingga 10 tahun akan datang. Itu maksud saya.

“Tengku Razaleigh cakap benda yang sama. Tetapi mungkin kerana Tengku Razaleigh adalah negarawan yang senior, tiada siapa yang berani untuk tegur, atau perli beliau.

“Bukan hendak samakan saya dengan Tengku Razaleigh. Tetapi oleh kerana saya ialah KJ, nakal… semua saya kena kecam, dan saya kena kritik terutamanya orang orang kuat Datuk Seri Najib, dan mereka telah tembak messenger (kill the messenger),” katanya lagi mengulas kritikan yang diterimanya sebelum ini.

Antara yang tampil membidas Khairy susulan kenyataan tersebut ialah Anggota Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkarshi dan veteran parti Shahrir Abdul Samad.

Khairy yang juga bekas ketua pemuda Umno berkata parti itu masih kukuh di bawah kepimpinan Presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

“Sekarang ini presiden masih lagi ada, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Tak ada masalah sebab kes beliau masih dalam perbicaraan… tidak ada keputusan apa-apa lagi dari mahkamah.

“Tetapi kita mesti melihat selepas itu siapa? Apakah barisan kepimpinan baru? Yang sebenarnya yang dikehendaki rakyat juga,” katanya.

Ahmad Zahid, 67, sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pertuduhan pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi dan lapan pertuduhan rasuah. Mkini

2 thoughts on “‘Najib dah didapati bersalah, cari generasi baru pimpin Umno’ – KJ

  • August 5, 2020 at 12:13
    Permalink

    Datuk Seri Najib tak ada niat utk jadi Presiden lagi.Dia org yg ikhlas.Lepas kalah siapa yg lawan balik?KJ ke?fikir2kan la.

    Reply
  • September 3, 2020 at 09:38
    Permalink

    nampak tak apa beza orang muda dgn orang lama tadbir urus parti?….jika dihitung kata2 orang muda spt kj ini mungkin 90% nampak mcm x suka pd orang lama yg berbudi kpd rakyat spt Najib seolah2 najib lah yg menjahanamkn umno…DIMANA DOA DAN KATA2 HARAPAN KPD NAJIB WAHAI KJ ORG MUDA YG NAMPAK MCM SEDIKIT KURANG MANTANG IMAN SABARNYA…..BILA DAH TAK SUKA SEMUANYA JD MASAM N PAHIT…TIADA LG DOA N HARAPAN KETIKA SUSAH….wallahualam

    Reply

Leave a Reply