Lelaki koyak al-Quran dipenjara tiga tahun

Doni dikenakan hukuman penjara tiga tahun di bawah undang-undang menghina Islam di Indonesia

MEDAN – Seorang lelaki di Indonesia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun kerana memusnahkan al-Quran yang merupakan kes jarang berlaku melibatkan Muslim di negara itu.

Mahkamah daerah di bandar Medan, Sumatera memutuskan hukuman itu ke atas Doni Irawan Malay, 44, ketika perbicaraan semalam.

“Defendan telah disabit bersalah,” kata Hakim Tengku Oyong ketika membacakan keputusan tersebut.

Sebelum ini, perbuatan biadab Doni pernah menjadi tajuk utama akhbar tempatan selepas dia bertindak menyerbu masuk ke sebuah masjid di Medan dan memasukkan al-Quran ke dalam seluarnya.

Dia kemudiannya mengoyakkan helaian muka surat kitab suci tersebut dan membuangnya ke dalam tong sampah sebelum ditahan oleh sekumpulan individu yang berang dengan tindakannya.

Difahamkan, kumpulan hak asasi manusia telah sekian lama melancarkan kempen terhadap undang-undang menghina agama Islam di Indonesia kerana didakwa menyasarkan penganut Kristian, Buddha dan agama minoriti lain di negara yang mempunyai populasi hampir 90 peratus Muslim.

Tahun lalu, Mahkamah Agung Indonesia menolak rayuan seorang wanita Cina yang dijatuhi hukuman penjara 18 bulan kerana merungut tentang laungan azan.

Pada 2017, bekas Gabenor Indonesia, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok turut dikenakan hukuman penjara dua tahun kerana menghina agama Islam. – AFP

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker