Hajiji, Bung kombinasi terbaik lawan Warisan, kata Pemuda PPBM Sabah

Ketua Pemuda PPBM Sabah, Khairul Firdaus Akbar berkata, gandingan Hajiji Noor dan Bung Moktar Radin yang masing-masing mengetuai PPBM serta Umno negeri ialah kombinasi terbaik untuk menentang Warisan dan sekutunya pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

Oleh itu, beliau menggesa rakyat Sabah memberi peluang kepada gabungan kepimpinan baru itu untuk membuktikan keupayaan mereka mentadbir negeri itu.

“Gabungan kepimpinan parti yang baru seperti Hajiji, Bung dan ketua-ketua parti tempatan lain menentang Warisan dalam PRN ini sudah pasti akan membawa harapan dan citarasa baru kepada rakyat Sabah.

”Gabungan kekuatan semua parti di bawah Perikatan Nasional ini sudah pasti akan menjadi nilai tambah kepada kerajaan Perikatan Nasional di persekutuan serta memberi kelebihan kepada Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Ahad lalu, Umno Sabah berjanji tidak akan mengetepikan parti lain yang bersama menentang kerajaan negeri diterajui Warisan dan ia akan berunding dengan Barisan Nasional (BN) dan parti lain tidak pro-Warisan berhubung pengagihan kerusi untuk PRN Sabah.

Ia selepas Hajiji dilaporkan berkata, parti itu mengenal pasti 45 kerusi untuk ditandingi, namun ia sedia berbincang dengan PN, Umno dan BN.

Khairul berkata, dinamika politik negara dan negeri itu berubah akibat keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 lalu yang turut mengubah citarasa rakyat terhadap politik serta kepimpinan negara.

”PRN ini hasil daripada kemelut politik terkini dan ianya akan sekali lagi menguji sensitiviti parti politik terhadap sentimen serta citarasa rakyat Sabah yang sentiasa inginkan pembaharuan dan pembangunan.”



Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan Khamis lalu dan memberi laluan kepada PRN yang perlu diadakan sebelum 29 Sept ini.

Terdapat 73 kerusi di DUN Sabah berbanding 60 kerusi sebelum ini. Tiga belas kerusi baru itu ialah Bengkoka, Bandau, Pintasan, Pantai Dalit, Darau, Tanjung Keramat, Limbahau, Tulid, Telupid, Sungai Manila, Lamag, Segama dan Kukusan.

Parti pembangkang di Sabah yang terdiri daripada Umno, PPBM, STAR dan PBS mempunyai 20 Adun, termasuk 3 wakil rakyat bebas, dengan seorang daripadanya Adun dilantik.

Gabungan parti pemerintah pula mempunyai 45 kerusi, termasuk 33 kerusi yang dimenangi Warisan, DAP (7), Upko (3) dan PKR (2). FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker