Etnik Rohingya kini kuasai Teluk Kumbar

Share

Pihak berkuasa digesa supaya memantau kemasukan nelayan etnik Rohingya demi menjaga keselamatan dan kebajikan penduduk dan nelayan di Teluk Kumbar, Pulau Pinang

Parti Gerakan mendakwa 10 tahun lalu, terdapat hanya beberapa buah keluarga etnik Rohingya di perkampungan nelayan Teluk Kumbar, dan kini telah bertambah hampir ke 300 buah keluarga.

Pertambahan penduduk warga Myanmar di perkampungan nelayan terbabit didakwa semakin pantas sejak kebelakangan ini, sekaligus menimbulkan keresahan penduduk tempatan.


Bukan itu sahaja, majoriti mereka yang bekerja sebagai nelayan turut didakwa menjejaskan pendapatan nelayan di situ yang kini terpaksa pula bersaing dengan ‘orang luar’, kata jurucakap Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Mohd Aswaad Jaafar.

Difahamkan, kewujudan nelayan Rohingya di Teluk Kumbar itu sebelum ini bukan sesuatu yang asing dalam kalangan penduduk dan nelayan tempatan sejak beberapa tahun lalu.

Namun, seorang nelayan yang telah tinggal di perkampungan itu selama 30 tahun lebih memaklumkan pertambahan jumlah nelayan etnik Rohingya semakin mendadak sejak akhir-akhir ini dan ini telah mula mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan nelayan tempatan.


Sungguhpun kebanyakan nelayan Rohingnya itu tidak mempunyai lesen dan permit perikanan yang sah namun mereka didakwa bebas menangkap ikan di perairan negeri ini.

Meskipun nelayan tempatan tidak ada masalah berkongsi hasil laut dengan mana-mana nelayan sekali pun, tetapi mereka mengharapkan agar semua nelayan di situ mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.

Nelayan tempatan berasa tidak adil jika mereka perlu berdaftar dan mematuhi semua syarat ditetapkan kerajaan untuk turun ke laut tetapi kumpulan nelayan Rohingya pula bebas dan boleh menangkap ikan sesuka hati.


Aswaad berkata, penduduk dan nelayan memberitahu biarpun nelayan etnik Rohingya tidak mempunyai lesen dan permit sah, tetapi mereka mampu menggunakan sampan dengan enjin berkuasa tinggi.

Keadaan itu telah membolehkan nelayan Rohingya berkenaan menangkap ikan di kawasan laut lebih dalam dan membawa hasil pulangan lebih banyak.

Malah, ada di antara mereka mungkin bekerja 24 jam sehingga ketika tengah malam dan mengaut hasil tanpa henti, ujarnya.

Keadaan ini menyebabkan nelayan tempatan merungut kerana kadang-kadang bot berkuasa tinggi itu telah menyebabkan kerosakan kepada pukat-pukat mereka dan mengakibatkan kerugian.

Difahamkan, kumpulan nelayan etnik Rohingnya itu juga mula menyewa unit-unit rumah pangsa di sekitar Teluk Kumbar dan ada di antara mereka yang tidur di dalam sampan masing-masing.

Selain daripada masalah dihadapi nelayan tempatan, penduduk di perkampungan itu turut bimbang masalah sosial dan penyalahgunaan dadah akan berlaku susulan daripada penambahan bilangan warga Rohingya di situ.

Dengan ini, Parti Gerakan menggesa pihak berkuasa memantau kemasukan nelayan etnik Rohingya berkenaan supaya kehidupan nelayan dan penduduk tempat tidak terus terkesan. – MalaysiaGazette

Leave a Reply