BERSATU, UMNO harus bergabung lawan WARISAN

Prn sabah
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah dan UMNO Sabah harus bergabung bagi menentang Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan gabungannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Penerangan BERSATU Sabah, Khairul Firdaus Akbar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata pihaknya sentiasa bersedia menghadapi PRN yang disifatkan dilakukan secara mengejut.

“BERSATU Sabah senantiasa bersedia menghadapi PRN ‘kilat’ ini.

“Di bawah kepimpinan Hajiji (Datuk Hajiji Noor) sebagai Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah ditambah dengan gabungan bersama kepimpinan Bung (Datuk Seri Bung Moktar Radin) sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, ia adalah kombinasi terbaik bagi mengetuai gelombang rakyat Sabah menentang WARISAN dan gabungannya.

“Gabungan kepimpinan ini sudah pasti akan membawa harapan dan cita rasa baharu kepada rakyat negeri ini dan menjadi nilai tambah kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Persekutuan serta kelebihan kepada Sabah.

“Oleh itu, rakyat Sabah disarankan untuk memberi peluang dan ruang kepada gabungan kepimpinan yang baharu untuk mentadbir kerajaan negeri,” katanya.

Dalam kenyataan media terbabit, Khairul Firdaus turut menjelaskan agenda hak rakyat negeri Sabah dan pembangunan negeri akan sentiasa menjadi fokus utama gabungan kepimpinan ini.

“Peluang dan ruang ini lebih terbuka kepada pimpinan baharu dan anak muda untuk terbabit dalam pentadbiran dan pembangunan negeri Sabah,” katanya.

Terdahulu, Hajiji dilaporkan berkata, parti itu mahu bertanding di 45 kerusi DUN dalam PRN yang bakal ditentukan tarikhnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelak. BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker