Warisan dan Pakatan Harapan hanya menunggu masa ‘BERGADUH’

 

Kelihatannya portal-portal berita lebih banyak memberikan fokus kepada pertikaian yang dikatakan berlaku antara BERSATU dan UMNO di dalam agihan kerusi untuk PRN Sabah dan tiada perbincangan diberikan kepada kedudukan WARISAN dan Pakatan Harapan.

Hakikatnya ialah tidak semuanya berjalan lancar antara WARISAN dan Pakatan Harapan untuk menghadapi PRN Sabah malah Setiausaha Pemuda PKR, Ahmad Syukri Che Ab Razab, sudah dilaporkan sebagai berkata:

“Agihan kerusi sesama komponen pembangkang perlu dibuat secara saksama dengan mengutamakan semangat setiakawan. Sewajarnya tiada parti yang boleh dianggap dominan untuk menguasai lebih banyak kerusi.” Lihat di sini: https://www.freemalaysiatoday.com/…/bahagi-kerusi-secara-s…/

Kenyataan Setiausaha Pemuda PKR ini adalah amat munasabah bila dilihat bahawa, dalam PRU 14, agihan kerusi antara WARISAN dan Pakatan Harapan di Sabah adalah 45 untuk WARISAN, 8 untuk PKR, 7 untuk DAP dan 0 untuk AMANAH.

Saksamakah namanya bila hanya satu parti membolot hampir semua kerusi yang dipertandingkan dan bila satu lagi parti langsung tidak diberikan sebarang kerusi?

Apatah lagi bila keputusan PRU 14 menunjukkan bahawa WARISAN hanya mampu menang di tidak sampai separuh kerusi, iaitu 21 daripada 45 kerusi, yang ia tandingi.

 

Dan daripada 21 kerusi yang WARISAN menangi ini, 7 kerusi hanya dimenangi dengan majoriti tipis sahaja, iaitu:

1. Uda Sulai yang menang dengan majoriti sebanyak 208 undi sahaja di N18 Petagas (P173 Putatan).
2. Norazlinah Arif yang menang dengan majoriti sebanyak 268 undi sahaja di N51 Kunak (P188 Silam).
3. Peter Anthony yang menang dengan majoriti sebanyak 293 undi sahaja di N35 Melalap (P181 Tenom).
4. Mohammad Mohamarin yang menang dengan majoriti sebanyak 379 undi sahaja di N1 Banggi (P167 Kudat).
5. Arunarnsin Taib yang menang dengan majoriti sebanyak 598 undi sahaja di N41 Gum-Gum (P184 Libaran).
6. Dr Yusof @ Josree Yacob yang menang dengan majoriti sebanyak 760 undi sahaja di N28 Sindumin (P178 Sipitang).
7. Daud Yusof yang menang dengan majoriti sebanyak 795 undi sahaja di N23 Bongawan (P176 Kimanis).

Sebab itulah sangat kelakar bunyinya bila pemimpin WARISAN dan Pakatan Harapan memperkatakan mengenai gejala “abang besar” dalam Perikatan Nasional bila dalam gabungan mereka sendiri pun gejala “abang besar” ini jelas tertonjol.

Jelas, kalau mengikut kata-kata Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub, yang berbunyi “Pakatan Harapan bersetuju AMANAH ambil dua Parlimen, dua DUN (di Sabah dalam PRU 14)”, WARISAN sudah melanggar Pakatan Harapan. Lihat di sini: https://www.malaysiakini.com/news/422092

Jelas juga, kalau mengikut kata-kata Pengerusi AMANAH Sabah (waktu itu), Hamzah Abdullah, yang berbunyi “Kalau rakan sama rata takkanlah AMANAH tak dapat kerusi langsung”, WARISAN telah tidak berlaku adil. Lihat di sini: https://www.malaysiakini.com/news/420994

Kita tunggu lihat sahajalah apakah AMANAH akan sanggup menjadi tunggul kayu dan menerima hadiah telur lagi serta apakah PKR akan berpuas hati dengan hanya 8 kerusi sahaja walaupun ia menandingi 44 kerusi dalam PRU 13.

Dr. Kamarul Yusoff

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker