Polis siasat penglibatan gengster

Share

POH – Polis menyiasat kesahihan penglibatan kumpulan gengster yang diupah menjaga kawasan bekas lombong seperti didakwa nelayan darat di negeri ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, sekiranya dakwaan itu benar, tindakan undang-undang akan diambil ke atas pihak terlibat atas faktor keselamatan awam.

“Polis akan siasat aduan ini sebelum tindakan lanjut dilakukan.


“Hasil semakan awal, terdapat enam laporan polis telah dibuat berkaitan penerokaan lombong secara haram ini. Ada antaranya berpunca daripada pergaduhan dua pihak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Razarudin berkata, polis akan mendapatkan maklumat lanjut daripada semua pihak termasuk nelayan darat terlibat bagi membantu siasatan.

“Kita akan lakukan siasatan terperinci dakwaan itu bagi mendapatkan gambaran sebenar,” katanya.


Sinar Harian semalam melaporkan terdapat berpuluh bekas lombong di negeri ini yang diceroboh secara haram untuk tujuan pertanian dan penternakan.

Tindakan itu mengancam sumber pendapatan nelayan air tawar yang bergantung hidup mencari rezeki dengan menangkap ikan di kawasan itu.

Lebih menyakitkan hati, pengusaha haram berkenaan semakin bermaharajalela dengan mengupah kumpulan gengster untuk menjaga kawasan bekas lombong tersebut daripada dimasuki orang ramai.


SH

Leave a Reply